Model supersport Yamaha YZF-R1 2022 rasmi berada di pasaran USA sejak November 2021 yang lepas, kini tampil dengan kemaskini dua pilihan warna terbaharu. Kedua-dua warna baharu tersebut ialah Team Yamaha Blue dan Performance Black. Harga jualan yang ditawarkan pula adalah sebanyak $17,599.00, bersamaan nilai RM 73,695.81.
Yamaha YZF-R1 2022 pada ketika ini masih mengekalkan aspek spesifikasi yang sama seperti mana model tahun sebelumnya. Model itu dikuasakan enjin 998cc (liquid-cooled, inline 4 cylinder, DOHC; 4-valves per cylinder) yang menghasilkan 200PS @ 13,500rpm dengan tork 113Nm @ 11,500rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan sistem ride-by-wire YCC-T (Yamaha Chip Controlled Throttle), termasuklah bantuan daripada unit IMU.
Sebagai sebuah jentera yang memberikan fokus kepada prestasi bertaraf litar, Yamaha YZF-R1 tampil dengan teknologi kerangka aluminium Deltabox, sistem brek berprestasi tinggi dengan ABS, sistem suspensi yang boleh dilaraskan sepenuhnya, dan sepasang tayar Bridgestone® RS11 untuk pengendalian yang cemerlang dan sentiasa terkawal. Kapasiti tangki bahan apinya 17 liter, dengan berat jentera itu ialah 200 kg (wet weight).
Yamaha YZF-R1 turut dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan elektronik, antaranya seperti EBM (Engine Brake Management), PWR (Power Delivery Mode), TCS (Lean Angle-Sensitive Traction Control System), SCS (Slide Control System), LIF (Lift Control System), LCS (Launch Control System), dan QSS (Up and Down Quick Shift System).
Ciri-ciri menarik lain termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya dan panel instrumen digital TFT berwarna, dengan ciri mod jalanan dan trek. Selain daripada versi standard, pasaran USA turut menerima Yamaha YZF-R1 World GP 60th Anniversary Edition 2022 bermula bulan November yang lepas, dengan harga $18,099.00 (RM 75,789.56).