Motosikal moped 150cc termurah di pasaran Malaysia pada ketika ini iaitu WMoto F15 2022 telah dilancarkan dengan rasminya pada tarikh 21hb. Disember 2021 yang lepas. Bagaimanapun selepas pelancaran, didapati model tersebut masih belum tiba di mana-mana wakil pengedar, dan ianya sedikit sebanyak telah menimbulkan tanda tanya.
Akhirnya pada minggu lepas, WMoto F15 telah tiba secara rasmi di kebanyakan pusat jualan wakil pengedar WMoto di seluruh Malaysia, buktinya ialah melalui status paparan gambar-gambar terkini model moped itu yang disiarkan di dalam laman Facebook oleh beberapa wakil pengedar. Anda boleh saksikannya di dalam galeri seperti di bawah.
Antara kelebihan WMoto F15 ini berbanding model-model lain yang menjadi pesaingnya ialah harga jualan asasnya yang sangat berpatutan, iaitu serendah RM 5,999.00 sahaja. Walaupun mempunyai tanda harga yang rendah, ianya dilengkapi enjin 150cc, kapasiti tangki bahan api 5.5 liter, dan rekaan keseluruhannya yang begitu menarik dan sporty.
Spesifikasi menariknya yang lain termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, paparan panel meter analog dan digital, dan port pengecas USB untuk kemudahan mengecas telefon bimbit sewaktu dalam perjalanan. Untuk melihat dengan lebih dekat WMoto F15 2022 ini, anda boleh kunjungi mana-mana pusat jualan wakil pengedar yang terdekat.
Sumber : Syafiq Darma Motor, SML Motorcycle, P&U Motor, Boon Hua Motor, EU MOTOR & Kc Wong