Yamaha FZS-FI 2022 di pasaran India terima naik taraf terkini, varian baharu Deluxe diperkenalkan

India YAMAHA Motor Pvt. Ltd. pada awal Januari baru-baru ini telah rasmi melancarkan Yamaha FZS-FI 2022, bersama-sama varian baharu Yamaha FZS-FI Deluxe 2022. Bagi model FZS-FI versi Standard, naik taraf terkini yang diterima ialah lampu belakang LED, sementara dua pilihan warna yang ditawarkan ialah Matte Red dan Dark Matte Blue.

Yamaha FZS-FI Deluxe pula tampil dengan grafik rekaan baharu, lampu signal depan dan belakang LED, lampu belakang LED, rim aloi berwarna, serta pelana dengan dwi-warna untuk model berwarna Metallic Black dan Metallic Deep Red. Selain dua pilihan warna itu, Yamaha FZS-FI Deluxe turut ditawarkan dengan pilihan warna Metallic Grey.

Kedua-dua model Yamaha FZS-FI 2022 dan Yamaha FZS-FI Deluxe 2022 masih kekal dengan enjin Blue Core bersesaran 149cc (Air cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve), seperti mana yang dimiliki oleh kesemua rangkaian model FZ-FI generasi ketiga. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 12.4PS @ 7,250rpm dengan tork 13.3Nm @ 5,500rpm. Enjin bertaraf BS VI itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan.

Turut melengkapi kedua-dua model itu ialah aplikasi Connect-X dengan ciri sambungan Bluetooth, dengan pelbagai kemudahan yang berguna seperti Answer Back, Locate my Vehicle, Parking Record & Hazard, dan Riding History. Selain itu ialah brek cakera ABS Single Channel di bahagian depan, brek cakera belakang, panel instrumen LCD dengan pelbagai info, lampu depan LED, mudguard tayar belakang, dan penutup bawah enjin.

Untuk pasaran India, Yamaha FZS-FI 2022 boleh dimiliki dengan tanda harga sebanyak INR 115,900 (Ex-Showroom Price in Delhi), bersamaan nilai RM 6,470.93. Untuk model Yamaha FZS-FI Deluxe 2022 pula, harga jualannya adalah sebanyak INR 118,900 (Ex-Showroom Price in Delhi), bersamaan nilai RM 6,638.43 berdasarkan kadar semasa.