Model skuter terbaharu Honda Vario 160 2022 secara rasminya dilancarkan di pasaran Indonesia pada kelmarin, dalam dua pilihan varian ABS dan CBS. Selain tampil dengan gaya rekaan yang lebih menarik dan lebih sporty, model itu turut dilengkapi enjin baharu eSP+ dalam sesaran 156.9cc (4-stroke, 4-valve, liquid-cooled) yang lebih berkuasa.
Untuk anda yang mungkin masih belum puas menatap gambar-gambar menarik Honda Vario 160 yang disiarkan sebelum ini, di sini dipaparkan foto-foto studio model tersebut dalam resolusi tinggi yang lebih jelas, seperti mana yang boleh disaksikan dalam galeri di bawah. Setiap varian Vario 160 didatangkan dalam tiga pilihan warna kesemuanya.
Dengan pelancaran Honda Vario 160 ini, bermakna ianya kini telah mampu memberikan saingan sengit kepada model Yamaha NVX 2021 yang dilancarkan di pasaran ASEAN sebelum ini, termasuklah di pasaran Malaysia. Namun untuk peminat model skuter yang meminati lantai kaki rata yang lebih praktikal, pastinya akan memilih Honda Vario 160.
Setakat ini untuk pasaran Malaysia, masih belum dapat dipastikan dengan tepat bilakah Boon Siew Honda akan melancarkan Honda Vario 160 serba baharu ini. Tidak seperti di pasaran Indonesia yang mempunyai ramai peminat skuter, pasaran Malaysia pula lebih meminati model kapcai dan moped. Buktinya ialah Honda RS-X ketika ini sangat laris.
Sumber : Motoblast.org