Selepas pelancarannya, Honda RS-X 2021 hampir mencapai ekspektasi ramai peminat motosikal tempatan

Model moped terbaharu Honda RS-X 2021 akhirnya secara rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia pada semalam, oleh pengeluarnya Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH). Dengan pelancaran itu, persoalannya ialah adakah model berkenaan telah memenuhi sepenuhnya ekspektasi atau harapan besar ramai peminat motosikal tempatan di negara kita?

Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan peminat motosikal tempatan, khususnya peminat Honda yang selama ini menantikan kehadiran model Honda Winner X, amat berpuas hati dengan pelancaran Honda RS-X 2021. Impian mereka semua kini telah pun menjadi realiti dan bukan lagi sekadar angan-angan, walaupun terpaksa menunggu dalam tempoh lama.

BSH sememangnya mengambil langkah yang tepat apabila menggunakan nama baharu Honda RS-X, dan tidak menggunakan nama Honda Winner X. Perbezaan nama itu sudah cukup untuk memudahkan model tersebut dikenali di pasaran Malaysia dan juga di rantau ASEAN, dan mungkin nama itu akan kekal eksklusif hanya untuk pasaran Malaysia.

Lebih mengujakan ialah Honda RS-X 2021 bukanlah sebuah model salinan atau copy 100 peratus daripada model Honda Winner X di pasaran Vietnam, malah tampil berbeza pada bahagian kepala dan juga ekzos. Perubahan yang dilakukan oleh BSH itu walaupun agak kelihatan minima, namun sudah cukup untuk menjadikan model berkenaan lebih sporty.

Di samping itu, pilihan warna dan jalur grafik yang ditawarkan juga boleh dikatakan begitu memukau, berbeza dengan pilihan warna yang ditawarkan untuk model Honda Winner X di pasaran Vietnam. Jika diperhatikan, pilihan warna Trico untuk Honda RS-X tampil lebih segar berbanding pilihan warna Trico untuk model Honda Winner X di pasaran Vietnam.

Berkenaan harga pula, nampaknya BSH sekali lagi bijak dalam membuat penetapannya. Sebelum ini ramai peminat yang menjangkakan harga yang bakal ditawarkan itu pastinya akan berada dalam anggaran RM 9k sehingga RM 10k. Rupa-rupanya telahan mereka itu tersasar, kerana harga asas yang ditawarkan hanyalah serendah RM 8,688.00 sahaja.

Selain itu, ekspektasi atau harapan besar peminat untuk melihat model tersebut dilengkapi dengan sistem brek ABS juga telah menjadi kenyataan. Untuk pasaran Malaysia, Honda RS-X hanya ditawarkan dalam satu varian sahaja dengan kelengkapan sistem brek ABS, dan tidak ditawarkan dalam versi Non-ABS seperti Honda Winner X di pasaran Vietnam.

Bagaimanapun, Honda RS-X 2021 mungkin tidak sempurna sepenuhnya, apabila harapan peminat untuk melihatnya dilengkapi dengan enjin serba baharu dalam kelas 160cc masih tidak menjadi kenyataan. Namun percayalah, Honda RS-X 160 @ Honda Winner X 160 bakal dilancarkan pada masa depan, dengan pelbagai ciri-ciri baharu yang lebih menarik.

Untuk pemilik model Honda RS150R V1 dan Honda RS150R V2 pula, pelancaran Honda RS-X 2021 ini sebenarnya juga merupakan suatu rahmat untuk mereka semua. Ini kerana mereka juga boleh menjelmakan (convert) motosikal kesayangan mereka sebagai model Honda RS-X sepenuhnya, apabila set cover lengkapnya tiba di pasaran tidak lama lagi.

Kepada pemilik model Honda RS150R yang telah pun mengubahsuai (convert) motosikal mereka kepada model Honda Winner X, tiada apa yang perlu disesalkan. Jika ada rezeki lain pada masa akan datang, mereka juga boleh menjelmakan motosikal mereka kepada model Honda RS-X dengan mudah, atau kekal sebagai Honda Winner X untuk kelainan.

Dengan pelancaran Honda RS-X 2021 ini, kesimpulan yang dapat dibuat ialah ekspektasi, jangkaan atau harapan besar peminat motosikal Honda di Malaysia boleh dikatakan telah tercapai hampir sepenuhnya. Walaupun ada yang terus mengkritik dan tidak berpuas hati, namun hakikatnya model ini bakal menjadi antara model terlaris di pasaran tempatan.