Suzuki Malaysia bakal melancarkan model terbaharu dengan tema “The Road Conqueror”, adakah ianya Belang R150?

Laman Facebook Suzuki Malaysia baru saja memaparkan imej teaser terkini mengenai pelancaran model baharu tidak lama lagi, dengan tema “The Road Conqueror”. Dengan tema yang bermaksud “Penakhluk Jalan” itu, adakah ianya merupakan petunjuk kepada pelancaran model terbaharu Suzuki Belang R150 2022 yang amat dinanti-nantikan itu?

Sebelum ini laman blog Paultan.org telah mendedahkan laporan terkini bahawa Suzuki Malaysia bakal melancarkan trio model 150cc terbaharu keluarannya, pada penghujung bulan Mac 2022 akan datang. Dengan munculnya imej teaser “The Road Conqueror” itu maka dapat dikatakan bahawa khabar angin pelancaran ketiga-tiganya itu adalah benar.

Ketiga-tiga model yang bakal dilancarkan itu jika menjadi kenyataan ialah Belang R150, GSX-R150 dan GSX-S150, yang mana ketiga-tiganya merangkumi model moped, sport dan juga naked, dengan setiap daripadanya dikuasakan enjin DOHC bersesaran 150cc. Secara tidak langsung, memberikan lebih pilihan kepada peminat di pasaran tempatan.

Suzuki di pasaran Malaysia sebelum ini tidak lagi menawarkan model-model motosikal dengan enjin di bawah 250cc, bermula sejak tahun 2016 yang lalu. Ianya kerana angka jualan yang lemah dan persaingan daripada jenama lain. Diharapkan peminat motosikal tempatan akan memberikan sokongan yang padu kepada Suzuki Malaysia selepas ini.