Skuter maxi SYM Maxsym TL 508 2022 baru saja diperkenalkan di EICMA 2021 dalam bulan November yang lepas, kini dilengkapi naik taraf terbaharu berupa teknologi TCS (Traction Control System). Dengan adanya sistem tersebut, ianya mengurangkan risiko tayar belakang model itu tergelincir dan menawarkan tunggangan yang lebih selamat.
SYM Maxsym TL 508 TCS 2022 dilengkapi enjin 508cc (In-line twin cylinder, 8V, DOHC, liquid-cooled) bertaraf Euro 5, dengan kuasa maksimum 45.5PS (33.5kW) @ 6,750rpm dan tork maksimum 49.9Nm @ 5,250rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT, manakala tangki bahan apinya didatangkan dengan kapasiti maksimum 12.5 liter.
Spesifikasi lain yang melengkapi model tersebut termasuklah fork depan upside-down, suspensi belakang monoshock ‘single-sided with Multi-link’, brek cakera depan dan juga belakang berdiameter 275 mm dengan sistem ABS dua saluran, tayar depan 120/70-15, tayar belakang 160/60-15, dan ketinggian tempat duduk pada paras hanya 795 mm.
SYM Maxsym TL 508 TCS 2022 seterusnya turut dilengkapi Keyless System, port Quick Charge 3.0 untuk mengecas peranti dengan pantas, panel instrumen digital dan sistem lampu LED. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum dapat dipastikan bilakah MForce Bike akan melancarkannya, bagi menggantikan model terdahulu SYM Maxsym TL 500.