KTM 390 Adventure 2022 terima kemaskini warna baharu, naik taraf Traction Control dan rim roda baharu

Jentera kembara KTM 390 Adventure 2022 baru saja diperkenalkan, kini tampil dengan dua pilihan warna terbaharu yang lebih menarik dan sporty. Selain itu, model berkenaan turut menerima dua naik taraf baharu, yang pertama melibatkan sistem Traction Control. Sistem tersebut kini telah menerima dua mod tambahan iaitu Street dan juga Offroad.

Melalui mod Offroad, penunggang boleh membawa jentera tersebut meneroka ke jalan atau kawasan yang lebih mencabar dan ekstrem dengan mudah. Naik taraf kedua pula melibatkan penggunaan rim roda tuangan aluminiumum baharu, yang kini didatangkan dalam versi lima jejari dan bukan lagi enam jejari seperti mana model versi terdahulu.

Menurut KTM, rim roda baharu itu kini lebih kuat dan mantap, dan mampu menjelajah ke mana-mana kawasan dengan lebih meyakinkan. Kedua-dua rim depan dan belakang mempunyai diameter masing-masing 19 inci dan 17 inci, seterusnya dipasangkan tayar tanpa tiub CONTINENTAL TKC 70 yang menawarkan prestasi cengkaman cemerlang.

KTM 390 Adventure dikuasakan enjin bersesaran 373.2cc (four-stroke, single-cylinder, liquid cooled) bertaraf Euro 5, dan menjana kuasa maksimum 43hp dan tork maksimum 37Nm. Enjin berprestasi itu digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan, dan ianya turut dilengkapi PASC slipper clutch dan sistem pendikit Ride-by-Wire yang canggih.

Spesifikasi lain termasuklah fork depan WP Apex 43 mm jenis upside-down, sistem brek ABS dua saluran daripada BOSCH dengan mod standard OFFROAD ABS, Motorcycle Traction Control (MTC), Cornering ABS, panel meter digital TFT, teknologi sambungan KTM MY RIDE, sistem lampu LED, tangki bahan api 14.5 liter dan berat kering 158 kg.

Untuk pasaran Malaysia, KTM 390 Adventure 2021 dilancarkan pada bulan Disember 2020 yang lalu, dengan harga jualan asas sebanyak RM 30,800.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Bukan saja sesuai untuk aktiviti pengembaraan pada hujung minggu, model itu juga dikatakan sesuai sebagai jentera kembara harian.