KTM 390 Adventure 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 30,800.00

Para peminat motosikal tempatan dalam segmen kembara pastinya gembira apabila KTM secara rasminya melancarkan jentera yang ditunggu-tunggu KTM 390 Adventure 2021. Harga jualan untuk model berkenaan adalah sebanyak RM 30,800.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan), yang boleh dikatakan berpatutan.

KTM 390 Adventure dikuasakan enjin bersesaran 373.2cc (four-stroke, single-cylinder, liquid cooled) yang menghasilkan kuasa maksimum 43hp dan tork maksimum 37Nm. Enjin berprestasi itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, dan turut dilengkapi PASC slipper clutch dan sistem pendikit Ride-by-Wire yang canggih.

Sistem suspensi depan WP APEX 43 mm hadir dengan travel 170 mm dan ciri boleh laras sepenuhnya, manakala suspensi belakang tunggal WP APEX dengan travel 177 mm yang juga mempunyai ciri pelarasan. Sistem brek dilengkapi ABS dua saluran daripada BOSCH dengan kaliper BYBRE, dan terdapat mod standard OFFROAD ABS.

KTM 390 Adventure turut didatangkan sistem elektronik seperti Motorcycle Traction Control (MTC), Cornering ABS, panel meter digital TFT dan teknologi sambungan KTM MY RIDE. Sistem lampu merupakan LED sepenuhnya, sementara tangki bahan api menawarkan kapasiti maksimum 14.5 liter dan berat kering motosikal hanya 158 kg.

Sebagai sebuah jentera kembara lasak, KTM 390 Adventure dilengkapi roda depan berdiameter 19 inci dan roda belakang 17 inci, kedua-duanya dipasangkan tayar tanpa tiub CONTINENTAL TKC 70 yang menawarkan prestasi cengkaman cemerlang. KTM 390 Adventure juga dikatakan sesuai sebagai sebuah jentera pengembaraan harian.

Artikel menarik minggu ini :