KTM 250 Adventure 2022 dilancarkan di pasaran India, harga jualan bersamaan RM 13,291.44

Model kembara KTM 250 Adventure 2022 kini rasmi dilancarkan di pasaran India, tampil dengan dua pilihan warna terbaharu Electronic Orange dan Factory Racing Blue. Selain daripada kemaskini skim warna, tiada perubahan lain yang dilakukan berbanding model tahun 2021. Harganya jualannya pula ialah sebanyak Rs. 2,35,000.00 (RM 13,291.44).

KTM 250 Adventure dikuasakan enjin bersesaran 248.8cc (1-cylinder, 4-stroke engine, liquid cooled) yang digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 29.5hp dengan tork maksimum 24Nm. Enjin berkenaan turut memiliki sistem slipper clutch, di samping mesra alam apabila mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Turut melengkapi model adventure yang mampu meredah laluan lasak itu ialah sistem suspensi yang menggabungkan fork depan upside-down WP APEX 43 (tanpa ciri boleh dilaraskan) dengan penyerap hentak belakang WP APEX – Monoshock (dilengkapi ciri pelarasan untuk prabeban sahaja), masing-masing dengan travel 170 mm dan 177 mm. Ketinggian tempat duduknya mencapai 855 mm, dengan jarak kelegaan bumi 200 mm.

Sistem brek tampil serba lengkap dengan brek cakera di bahagian roda depan dan juga belakang, bersama-sama sistem ABS dua saluran dengan mod offroad ABS. Spesifikasi lain adalah seperti tangki bahan api 14.5 liter, roda depan dan belakang masing-masing dalam siri 100/90-R19 dan 130/80-R17, lampu depan jenis halogen dengan lampu DRL, lampu signal LED, panel meter digital LCD, dan berat kering model itu hanya 156 kg.

Untuk pasaran Malaysia, KTM 250 Adventure 2021 telah dilancarkan dengan rasminya pada bulan Disember 2020 yang lalu, dengan harga jualan asas RM 21,500.00. Ketika ini belum dapat dipastikan bilakah dua pilihan warna terbaharu bagi musim 2022 seperti di pasaran India ini akan diperkenalkan di pasaran tempatan. Sama-sama kita tunggu.