CFMOTO 700CL-X Heritage 2022 kini rasmi berada di pasaran Malaysia, harga asas RM 28,800.00 sahaja

Seperti mana yang telah pun diumumkan pada bulan Ogos 2021 yang lepas, CFMOTO 700CL-X Heritage 2022 kini dengan rasminya tiba di bilik pameran wakil pengedar dan bersedia untuk bertukar tangan ke pemilik baharu. Apa yang menarik ialah harga jualan asas untuk model retro moden itu kekal ditawarkan sebanyak RM 28,800.00 sahaja.

Dengan harga sebanyak itu yang boleh dikatakan sangat berpatutan dan mampu milik, mungkin tidak akan kedengaran lagi kata-kata keramat ‘baik beli..’ selepas ini. Ketika ini tidak dapat dipastikan model manakah di dalam segmennya yang mampu menawarkan harga yang kompetetif sepertinya, dengan melihat kepada spesifikasi keseluruhannya.

Antaranya ialah ianya dilengkapi enjin bersesaran 693cc dengan sistem transmisi enam kelajuan, yang menawarkan prestasi maksimum cukup memuaskan iaitu 73.7hp (55kW) @ 8,500rpm, dengan tork maksimum 68Nm @ 6,500rpm. Kapasiti tangki bahan apinya pula mampu mengisi sehingga 13 liter petrol, dan beratnya hanya 196 kg (curb weight).

Selain itu ianya turut dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri moden dan terkini, termasuklah teknologi CF-SC Slipper Clutch untuk kawalan klac yang lebih mudah, mod tunggangan Economy dan Sport, sistem Cruise Control, fork depan terbalik KYB, suspensi belakang tunggal KYB (link-mounted), dan sistem brek cakera J-Juan dengan Continental ABS.

Selanjutnya, CFMOTO 700CL-X Heritage 2022 turut dilengkapi lampu depan LED yang menggunakan sistem bantuan penyesuaian diri, yang dapat dihidupkan atau dimatikan secara automatik sesuai dengan kecerahan sekitarnya, lampu penunjuk arah yang akan dimatikan secara automatik, dan juga panel meter LCD berbentuk bulat pelbagai info.

Sebenarnya banyak lagi ciri-ciri menarik yang dibekalkan untuk model tersebut, seperti teknologi Ride By Wire, kusyen tempat duduk yang selesa dengan ketinggian 800 mm, soket pengecas USB, tayar depan 110/80-R18 dan belakang 180/55-R17 buatan Pirelli MT60-RS, dan dua pilihan skim warna yang menarik iaitu Twilight Blue dan Coal Grey.

Sumber gambar : Taycon Motor Jelutong FB & Sendayan Motor FB