Honda Giorno 2022 terima warna baharu di pasaran Jepun

Skuter comel dan bergaya Honda Giorno 2022 di pasaran domestik Jepun baru-baru ini telah memulakan jualannya secara rasmi, pada tarikh 20hb. Januari 2022. Untuk musim kali ini, Honda Giorno telah menerima lima pilihan warna baharu iaitu Virgin Beige, Puco Blue, Pearl Deep Mud Gray, Matt Armored Green Metallic dan juga Summer Pink.

Honda Giorno dikuasakan enjin eSP dalam sesaranĀ 49cc (water-cooled, 4-stroke, OHC single cylinder, PGM-FI) dengan gandingan transmisi automatik CVT. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 4.5PS @ 8,000rpm, dengan tork puncak 4.1Nm @ 6,000rpm. Skuter dengan berat hanya 81 kg itu kemudiannya dilengkapi tangki bahan api 4.5 liter.

Sistem suspensinya merupakan fork teleskopik di bahagian depan, dan di belakangnya ialah penyerap hentak tunggal yang terpasang di sebelah kiri. Sistem brek jenis dram di bahagian roda depan dan belakang sudah cukup untuk memberhentikan skuter tersebut dengan selamat. Ketinggian tempat duduknya yang selesa berada pada paras 720 mm.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Honda Giorno adalah seperti enjin yang cekap penggunaan bahan api dengan sistem Idling Stop, sistem brek kombinasi (Combi-Brake System), paparan jam pada panel meter, dua ruang barangan di bahagian depan, ruang seluas 20 liter di bawah pelana, dan gelang penyangkut beg yang besar dan selamat.

Selain itu ianya turut dilengkapi sistem kunci dengan ciri keselamatan (key cylinder with shutter) dan port pengecas telefon bimbit. Untuk pasaran domestik Jepun, harga jualan untuk Honda Giorno 2022 adalah sebanyak 209,000 Yen, bersamaan nilai RM 7,598.02 mengikut kadar semasa. Sasaran jualan tahunannya ditetapkan sebanyak 10,500 unit.