Pada bulan November 2021 baru-baru ini, Honda Motor Europe telah memperkenalkan Honda CB650R 2022, yang kini mempunyai pilihan warna baharu Sword Silver Metallic. Pilihan warna itu kini ditawarkan bersama-sama tiga pilihan warna terdahulu iaitu Candy Chromosphere Red, Mat Gunpowder Black Metallic dan Mat Jeans Blue Metallic. Selain itu, mudguard depan pada model tersebut kini kesemuanya tampil dengan warna hitam.
Untuk pasaran Eropah, Honda CB650R 2022 masih lagi mengekalkan spesifikasi sama seperti mana model Honda CB650R 2021. Antara spesifikasi menarik yang melengkapi model Neo Sports Cafe itu termasuklah fork depan Showa Separate Function front Fork Big Piston (SFF-BP) USD 41 mm, Honda Selectable Torque Control, panel meter digital LCD yang kini tampil lebih jelas dan peningkatan sudut palang pemegang (handlebar).
Di bahagian penjana kuasa, Honda CB650R dikuasakan enjin bersesaran 649cc (liquid-cooled 4-stroke 16-valve DOHC inline-4 cylinder) dengan hamburan maksimum 93.8hp @ 12,000rpm dan tork setinggi 63Nm @ 8,500rpm. Enjin bertaraf Euro 5 itu seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Tangki bahan api untuk model dengan berat 202.5 kg itu hadir dengan kapasiti penuh 15.4 liter.
Honda CB650R 2022 turut dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, soket pengecas USB jenis Type-C di bawah tempat duduk, suspensi belakang monoshock (monoshock damper with 10 stage adjustable preload), sistem brek cakera depan berkembar dengan kaliper empat piston (radial-mount) 310 mm, brek cakera belakang kaliper tunggal 240 mm, ABS dua saluran, serta roda depan 120/70-ZR17 dan roda belakang 180/55-ZR17.










