Moto Morini X-Cape, QJ Motor SRK600 dan QJ Motor SRT800 diperkenalkan, di pasaran Malaysia mulai suku kedua 2022

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. baru-baru ini rasmi mempertontonkan tiga buah model terbaharu edarannya kepada media tempatan, bertempat di bilik pameran Benelli Best Shop Alor Setar by Men Huat Motors Sdn Bhd. Ketiga-tiga buah model tersebut ialah Moto Morini X-Cape 650 2022, QJ Motor SRK600 2022 dan QJ Motor SRT800 2022. Anda boleh saksikan video pengenalan ketiga-tiga buah model itu melalui pautan ini.

Menurut MForce, pelancaran rasmi untuk ketiga-tiga buah model berkenaan di pasaran Malaysia nanti akan berlangsung dalam suku kedua atau pada pertengahan tahun 2022 ini. Bagi model QJ Motor SRT800 2022, ketika ini harga jualannya dikatakan sekitar RM 50k sahaja, tentunya berpatutan apabila melihat kepada spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkannya. Antaranya ialah ianya dikuasakan enjin dua silinder bersesaran 754cc.

QJ Motor SRT800 untuk pasaran Malaysia adalah sama seperti mana model QJ Motor SRT750 di pasaran China. Ianya akan ditawarkan oleh MForce dalam dua pilihan varian iaitu dengan rim lidi dan rim aloi, memberikan lebih pilihan kepada pelanggan sama ada untuk memilih model dengan gaya adventure atau lebih kepada gaya touring. Selain itu, dimaklumkan QJ Motor SRT800 merupakan kembar kepada model Benelli TRK 800.

Untuk anda yang berminat untuk memiliki sama ada Moto Morini X-Cape 650, QJ Motor SRK600 atau QJ Motor SRT800, boleh berkunjung ke mana-mana bilik pameran Benelli Malaysia atau wakil jualan sah MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. yang berdekatan untuk membuat tempahan awal secara rasmi. Namun sebelum itu, saksikan dahulu gambar-gambar menarik ketiga-tiga model berkenaan, melalui paparan galeri seperti di bawah.

Galeri : Moto Morini X-Cape

Galeri : QJ Motor SRK600

Galeri : QJ Motor SRT800