Kawasaki Versys 650 2022 dilancarkan di pasaran Indonesia, harga bersamaan RM 58,401.60

Untuk pasaran Indonesia, Kawasaki pada kelmarin dengan rasminya memperkenalkan model touring terbaharu Kawasaki Versys 650 2022. Berbanding generasi sebelumnya, model tersebut kini tampil berwajah baharu mirip model yang lebih besar iaitu Kawasaki Versys 1000, anda boleh saksikan perbezaannya melalui paparan galeri di bawah.

Di samping itu, model tersebut juga kini telah menerima naik taraf baharu berupa skrin penghadang angin dengan empat tahap pelarasan manual, untuk lebih kelesesaan dan tahap perlindungan yang lebih baik. KTRC (Kawasaki Traction Control) juga merupakan ciri terbaharu, hadir dengan dua pilihan mod dan ianya boleh dimatikan sepenuhnya.

Ciri terbaharu seterusnya yang diperkenalkan untuk Versys 650 2022 ialah panel meter digital sepenuhnya, dengan paparan TFT berukuran 4.3 inci. Panel meter baharu itu kini menawarkan ciri-ciri tambahan yang sebelum ini tiada pada model generasi tahun 2021, termasuklah sistem sambungan Bluetooth ke telefon pintar (smartphone connectivity). Tidak dilupakan ialah lampu depan Versys 650 2022 kini merupakan LED sepenuhnya.

Beralih ke bahagian penjana kuasa, Kawasaki Versys 650 2022 masih dikuasakan enjin yang sama, iaitu dalam sesaran 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan kuasa maksimum 67PS @ 8,500rpm dan tork 61Nm @ 7,000rpm. Enjin yang berprestasi itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan.

Sistem suspensinya terdiri daripada fork depan upside down, dan digandingkan dengan suspensi belakang monoshock (with remote spring preload adjustability). Untuk tahap keselamatan maksimum, Kawasaki Versys 650 2022 dilengkapi dua brek cakera depan 300 mm dengan kaliper dua piston, bersama-sama cakera belakang tunggal 250 mm. Tidak dilupakan kedua-dua brek cakera tersebut dilengkapi sistem ABS dua saluran.

Spesifikasi standard lain termasuklah tangki bahan api 21 liter, ketinggian tempat duduk 845 mm, jarak kelegaan bumi 170 mm, roda depan dan belakang dalam siri 120/70-R17 dan 160/60-R17, dan berat 218 kg (curb mass). Harga jualannya ialah Rp. 199,900,000 (RM 58,401.60), dan hanya tersedia dalam pilihan warna tunggal Candy Lime Green.

Galeri : Kawasaki Versys 650 2022

Galeri : Kawasaki Versys 650 2021