Pengeluar motosikal yang berasal dari Itali, Benelli baru-baru ini rasmi memperkenalkan sebuah model adventure terbaharu Benelli TRK 800 2022. Ianya merupakan tambahan kepada model adventure sedia ada iaitu Benelli TRK 502 X, dengan kelengkapan enjin yang bersesaran 754cc (In line 2 cylinders, 4-stroke, liquid cooled, 4 valves, DOHC).
Enjin yang bertaraf Euro 5 itu dipadankan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch, seterusnya menghamburkan kuasa maksimum 76.2hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm. Casis TRK 800 diasaskan daripada kerangka tiub trellis dan plat keluli yang kuat, untuk tunggangan yang tangkas dan keselesaan maksimum.
Bagi menempuh perjalanan jauh pula, ianya memiliki tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 21 liter. Sistem suspensi jentera adventure itu terdiri daripada gabungan fork depan jenis terbalik Marzocchi dan suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun aluminium, kedua-duanya boleh dilaraskan mengikut tahap kesesuaian tunggangan.
Prestasi sistem brek disempurnakan oleh Brembo, yang mana bahagian depannya ialah cakera berkembar 320 mm dengan kaliper empat piston, dan belakangnya ialah cakera 260 mm dengan kaliper tunggal. Di bahagian roda, TRK 800 dibekalkan dengan rim aloi aluminium, dengan tayar depan dan belakangnya dalam siri 110/80-19 and 150/70-17.
Sebagai sebuah jentera pengembaraan yang serba lengkap, Benelli TRK 800 2022 juga dilengkapi skrin penghadang angin boleh laras, hand guard, tempat duduk yang selesa dengan ketinggian 834 mm, panel instrumen TFT 7.0 inci yang intuitif dan terang, serta sistem lampu LED dengan lampu DRL. Berat kering pula mencapai 226 kg (dry mass).
Menurut Benelli, TRK 800 akan tiba di bilik pameran pengedarnya mulai separuh kedua tahun depan, namun harga jualannya masih belum ditentukan. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada maklumat sama ada ianya akan turut dilancarkan. Melihat kepada trend terkini, tidak mustahil Benelli TRK 800 2022 terbaharu ini akan turut dilancarkan.