Di pasaran Malaysia pada ketika ini, WMoto Malaysia telah menawarkan sebuah model skuter adventure dalam kelas 150cc iaitu WMoto Xtreme 150i bermula Julai 2021 yang lalu. Namun begitu masih ramai peminat skuter tempatan dalam segmen tersebut yang mahukan model yang lebih besar dan lebih berkuasa, dengan enjin bersesaran 250cc.
Berita baiknya ialah WMoto Malaysia pada bulan Ogos 2021 yang lepas telah membuat pengesahan rasmi bahawa syarikat itu bakal melancarkan model terbaharu, yang akan dikenali dengan nama WMoto Xtreme 250 2022 tidak lama lagi. Model skuter adventure itu bakal dilancarkan pada tahun ini, namun tarikh pelancarannya belum diumumkan.
Berdasarkan maklumat yang ada dan paparan imej rasmi yang dikongsikan oleh WMoto Malaysia sebelum ini, WMoto Xtreme 250 2022 merupakan sebuah model baharu yang akan dijenamakan semula daripada model skuter adventure Longjia XDV250i 2022, dan anda boleh saksikan imej pertama model di pasaran China itu seperti paparan di atas.
Setakat ini berdasarkan maklumat yang ada, WMoto Xtreme 250 2022 akan dilengkapi enjin bersesaran 244cc, dengan janaan kuasa maksimum 24hp dan jumlah tork sekitar angka yang sama. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik CVT. Untuk jarak perjalanan lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 13.5 liter.
Spesifikasi lainnya termasuklah tayar depan dan belakang dalam ukuran 110/70-13 dan 130/70-13, tinggi tempat duduk 805 mm, jarak kelegaan tanah 160 mm, serta berat 168 kg. Antara ciri-ciri menarik pada model tersebut ialah panel meter digital yang berwarna, windshield boleh dilaraskan, dan ruang barangan di bawah tempat duduk yang luas.
Selain itu, ianya turut didatangkan dengan kelengkapan seperti fork depan jenis terbalik, suspensi belakang berkembar dengan tabung gas, dan sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang dengan ABS dua saluran. Reka bentuk model skuter tersebut pula boleh dikatakan sporty dan elegan, dan tentunya sesuai untuk pasaran Malaysia.
Untuk mendapatkan gambaran lebih jelas reka bentuk dan penampilan sebenar WMoto Xtreme 250 2022, anda boleh saksikan gambar-gambar menarik dalam galeri di bawah, termasuk paparan model Longjia XDV300i 2022, versi 278.2cc untuk pasaran di negara China. Setakat ini, sama-samalah kita nantikan pelancaran WMoto Xtreme 250 2022.
Sumber gambar : Vanhoe Rage FB
Galeri : 2022 Longjia XDV250i
Galeri : 2022 Longjia XDV300i