Zontes Malaysia pada kelmarin rasmi melancarkan tiga buah model motosikal terbaharu dalam kelas enjin 155cc iaitu Zontes ZT155G 2021, Zontes ZT155U 2021, dan Zontes ZT155U1 2021. Ketiga-tiga model berkenaan menawarkan pilihan tunggangan berbeza, dan memberikan lebih pilihan kepada pembelinya berdasarkan minat masing-masing.
Untuk penggemar aktiviti tunggangan kembara atau pun adventure, pilihan paling tepat pastinya model Zontes ZT155U1 2021. Tampil dengan reka bentuk kompak yang sporty, model berkenaan menawarkan corak tunggangan yang lincah dan tahap pengendalian yang menyeronokkan, sama ada untuk tunggangan di kawasan bandar atau pun desa.
Zontes ZT155U1 dikuasakan enjin bersesaran 155cc (1-cylinder, liquid-cooled, 4-valve) yang patuh piawaian Euro 5, seterusnya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin tersebut turut dilengkapi sistem EFI daripada Bosch, di samping terdapat dua pilihan mod tunggangan iaitu E (Eco) dan S (Sport).
Keluaran kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 18.8hp @ 9,250rpm dengan tork maksimum 16Nm @ 7,500rpm, cukup berprestasi untuk motosikal dengan berat sekitar 117 kg (kerb weight). Dengan kapasiti maksimum tangki bahan api seluas 12.5 liter, jarak perjalanan yang boleh dicapai olehnya dikatakan sejauh lebih 500 km.
Untuk ciri tunggangan yang mantap, Zontes ZT155U1 dilengkapi fork depan jenis USD dan suspensi belakang monoshock dengan gas nitrogen dan ciri pelarasan prabeban. Ciri keselamatan terbaiknya pula disempurnakan oleh brek cakera depan dan belakang 300 mm dan 230 mm, serta lengkap dengan sistem ABS dua saluran daripada Bosch.
Seterusnya melengkapkan lagi ciri-ciri menarik pada model adventure kompak tersebut termasuklah panel meter digital LCD pelbagai info, sistem lampu LED sepenuhnya, dua port pengecasan pantas USB, tempat duduk dengan ketinggian 830 mm, sistem ekzos dengan rekaan tersendiri, forged handguard, integrated crash bar dan sistem keyless.
Di bahagian roda yang merupakan antara ciri terpenting untuk sesebuah model bertaraf ADV, Zontes ZT155U1 didatangkan rim aloi yang dibalut tayar jenis all-terrain (tubeless) yang masing-masing berukuran 110/70-R17 (depan) dan 130/70-R17 (belakang). Jarak kelegaan bumi motosikal tersebut pula berada pada paras yang sesuai iaitu 185 mm.
Untuk pasaran Malaysia, Zontes ZT155U1 2021 ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 10,800.00 sahaja (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Pilihan warna menarik yang ditawarkan ialah tiga kesemuanya iaitu Orange, Red dan Yellow. Untuk maklumat selanjutnya, anda boleh kunjungi pengedar yang berdekatan.