Honda di pasaran domestik Jepun baru-baru ini telah memperkenalkan model terbaharu Honda CBR250RR 2022, yang kini tampil dalam pilihan warna baharu Graphite Black. Pilihan warna berkenaan ditawarkan bersama-sama tiga pilihan warna sebelumnya dari musim 2021 iaitu Matte Gun Powder Black Metallic, Pearl Glare White dan Tricolour.
Honda CBR250RR bagi musim depan ini akan mula berada di pasaran domestik Jepun pada tarikh 20hb. Januari 2022, dengan harga jualan 821,700 Yen (RM 29,929.66) bagi pilihan warna Graphite Black, Matte Gun Powder Black Metallic dan Pearl Glare White. Untuk pilihan warna Tricolor pula, harga jualannya ialah 854,700 Yen (RM 31,131.66).
Seperti mana model tahun 2021, spesifikasi teknikal Honda CBR250RR 2022 ketika ini masih kekal sama dan tiada sebarang perubahan. Model tersebut dikuasakan enjin dua silinder berprestasi tinggi bersesaran 249cc, transmisi enam kelajuan, dan menawarkan kuasa maksimum mencecah 41PS @ 13,000rpm dan tork setinggi 25Nm @ 11,000rpm.
Untuk pasaran Malaysia, Honda CBR250RR 2022 Trico Edition baru saja dilancarkan pada tarikh 13hb. Disember 2021, dengan harga jualan asas sebanyak RM 25,999.00. Mungkin selepas ini pilihan warna terbaharu Graphite Black seperti di pasaran Jepun ini akan turut dilancarkan untuk pasaran Malaysia, termasuk di pasaran ASEAN yang lain.