Yamaha YZF-R15 2021 di pasaran Malaysia kini didatangkan pilihan warna baharu Silver

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) melalui laman sesawang rasmi mereka telah mengumumkan bahawa model sport bike Yamaha YZF-R15 2021 di pasaran Malaysia kini didatangkan pilihan warna baharu Silver. Dua pilihan warna terdahulu Race Blu dan Hitam yang diperkenalkan pada tahun 2020 juga masih lagi ditawarkan.

Dari segi teknikal, tiada sebarang perubahan yang dilakukan. Yamaha YZF-R15 2021 kekal dikuasakan enjin 155cc (Single Cylinder, 4-Stroke, SOHC, VVA) dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 19hp (14.2kW) @ 10,000rpm dengan tork puncak 14.7Nm @ 8,500rpm.

Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 11 liter, manakala berat motosikal mencapai angka 137 kg (wet weight). Yamaha YZF-R15 dibangunkan di atas casis Deltabox yang kukuh, dilengkapi fork depan jenis terbalik (upside-down) berwarna emas dan suspensi belakang monoshock dengan lengan ayun aluminium yang ringan.

Sistem brek cakera depan dan belakang yang mantap seterusnya diperkemaskan dengan sepasang tayar berukuran lebar yang menjamin kestabilan tunggangan. Ciri-ciri menarik lain lain adalah seperti  lampu depan LED jenis berkembar, lampu belakang LED, lampu kecemasan (hazard lamps) dan panel meter digital pelbagai fungsi.

Yamaha YZF-R15 model tahun 2021 ini masih mengekalkan harga yang sama seperti sebelumnya iaitu sebanyak RM 11,988.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan), dengan jaminan 2 tahun atau 20,000 km, yang mana dahulu. Seperti biasa, setiap pembelian akan turut menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00.