Honda CBR250RR 2022 Trico Edition dilancarkan di pasaran Malaysia, harga kekal sama RM 25,999.00

Boon Siew Honda (BSH) hari ini rasmi memperkenalkan Honda CBR250RR 2022 Trico Edition untuk pasaran Malaysia. Model tersebut kini tampil dengan pilihan warna baharu Tricolour, bagi menggantikan warna terdahulu Winning Red. Satu lagi skim warna yang ditawarkan sebelum ini iaitu Mat Gunpowder Black Metallic, kekal untuk musim 2022.

Berkenaan harga jualannya, ianya juga masih kekal sama iaitu sebanyak RM 25,999.00 sahaja (harga asas, tidak tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Tempoh jaminan adalah selama 2 tahun, atau sehingga 20,000 km jarak perjalanan (yang mana tiba dahulu). Model tersebut boleh didapati di pengedar Honda Big Wing dan Impian X.

Aspek teknikal memperlihatkan Honda CBR250RR 2022 dikuasakan enjin bersesaran 249cc dengan konfigurasi dua silinder, yang menghasilkan kuasa maksimum 41PS @ 13,000rpm dan tork maksimum 25Nm @ 11,000rpm. Dengan padanan transmisi enam kelajuan, ‘top speed’ jentera sport bike itu dikatakan mampu mencecah angka 180 km/j.

Honda CBR250RR 2022 merupakan sebuah motosikal bertaraf perlumbaan. Oleh itu ianya dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch, Quick Shifter dan juga sistem Throttle-By-Wire yang telah dioptimumkan ketepatan maklumbalasnya. Suspensi depannya pula telah ditala untuk pengendalian yang lebih baik di kawasan bandar mahu pun di litar.

Ciri-ciri menariknya yang lain termasuklah tiga mod tunggangan (Comfort/Sport/Sport+), panel meter digital LCD dengan paparan posisi gear, sistem lampu LED, kapasiti tangki bahan api 14.5 liter, sistem brek ABS Dual Channel, ketinggian tempat duduk 790 mm, tayar depan dan belakang dalam siri 110/70-R17 dan 140/70-R17, dan berat 168 kg.