Web Analytics
GPX Demon GR200R 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 11,388.00 – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

GPX Demon GR200R 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 11,388.00

GPX Malaysia pada malam ini dengan rasminya melancarkan sebuah model sport bike terbaharu yang ditunggu-tunggu selama ini iaitu GPX Demon GR200R 2021. Berasal dari negara jiran Thailand, model tersebut tampil dengan gaya dan reka bentuk cukup sporty, sementara harga jualan asasnya ditetapkan sebanyak RM 11,388.00 sahaja.

Harga yang ditetapkan itu boleh dikatakan berpatutan, memandangkan model tersebut  didatangkan enjin bersesaran 198cc (satu silinder, dua injap, sejukan cecair, teknologi suntikan bahan api GPX-Fi) dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Keluaran kuasa yang dihasilkan mencapai 19hp dengan tork maksimum 17.2Nm @ 6,500rpm.

Dengan enjin yang berprestasi seperti itu, kelajuan maksimum model tersebut dikatakan mencecah 140+ km/j. Selain itu, ciri-ciri menarik lain yang melengkapinya termasuklah kerangka jenis trellis yang kuat, meter digital yang bergaya moden, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan jenis USD dan suspensi belakang monoshock berjenama YSS.

Sistem pemberhentian yang lebih selamat pula diserahkan kepada sistem brek cakera 276 mm di bahagian depan, yang bergandingan dengan brek cakera belakang dengan ukuran 220 mm. Kemudiannya rim berukuran 17 inci dengan rekaan sporty dipadankan bersama-sama tayar depan yang bersaiz 100 / 80-17 dan tayar belakang 140 / 70-17.

GPX Demon GR200R turut dilengkapi tangki petrol dengan kapasiti 10.5 liter, ketinggian tempat duduk pada paras 815 mm dan berat hanya 155 kg. Didatangkan dalam pilihan tiga warna menarik iaitu Red Fire, Black Space dan Matt Gray, spesifikasi keseluruhan dan harga yang ditawarkan menjadikan model ini antara pilihan yang cukup berbaloi.

 
Arena Motosikal © 2023