Honda Vietnam hari ini secara rasminya melancarkan model moped Honda Winner X 2022 versi facelift terbaharu, dalam tiga varian iaitu Sports Version, Special Version dan Standard Version. Untuk varian Sports Version, hanya satu pilihan warna yang tersedia, dan diikuti tiga warna untuk Special Version dan empat warna untuk Standard Version.
Untuk pasaran Vietnam, harga jualan yang ditawarkan untuk model berkenaan bermula dari VND 46,090,000 (RM 8,445.89) untuk varian Standard Version, VND 49,990,000 (RM 9,160.56) untuk Special Version, dan VND 50,490,000 (RM 9,252.18) untuk varian Sports Version. Ianya akan mula berada di pasaran Vietnam mulai 04hb. Januari 2022.
Honda Winner X 2022 kini tampil dengan beberapa perubahan dan naik taraf terbaharu yang lebih menarik dan sporty. Oleh kerana model Honda RS-X baru saja dilancarkan di pasaran Malaysia sebelum ini, artikel ini akan melihat perbezaan di antara kedua-dua model itu. Adakah kedua-dua model itu merupakan model yang sama atau pun tidak?
Di bahagian enjin, Honda Winner X 2022 masih menggunakan enjin yang sama dengan model Honda RS-X, iaitu bersesaran 149.1cc (PGM-FI, 4-stroke, DOHC, single cylinder, liquid-cooled) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa yang dihasilkan mencapai 15.4hp (11.5 kW) @ 9,000rpm, dengan tork maksimum 13.5Nm @ 6,500rpm.
Sebenarnya, agak mengecewakan apabila Honda Winner X 2022 masih mengekalkan enjin 150cc yang sama. Harapan untuk melihat model tersebut dikuasakan enjin 160cc nampaknya masih belum menjadi kenyataan. Pada masa yang sama, teknologi Assist & Slipper Clutch, HSTC dan ABS Dual Channel juga masih belum menjadi realiti. Kapasiti tangki bahan api juga tiada sebarang naik taraf terkini, masih sama iaitu hanya 4.5 liter.
Bagaimanapun, Honda Winner X 2022 tetap tampil dengan beberapa perubahan terkini yang lebih sporty, segar dan agresif. Di bahagian kepala, ianya masih lagi sama seperti model Honda RS-X, namun perbezaan ketara kini melibatkan bahagian dada yang telah direka semula, termasuklah rekaan lampu signal depan yang kini jenis terbina dalam.
Rekaan lampu signal depan jenis baharu seperti itu sememangnya sangat dialu-alukan oleh ramai peminat Honda Winner X dan Honda RS-X, kerana ianya lebih sporty, lebih selamat dan tidak mudah patah. Selain itu, rekaan fairing sisi dan cowl pada bahagian bawah juga kini berubah sepenuhnya, di samping kemaskini baharu cover badannya.
Jika diperhatikan dengan teliti, panel meter digital Honda Winner X 2022 kelihatan sama seperti panel meter Honda RS-X, namun sebenarnya terdapat beberapa perincian kecil terkini. Paling mengujakan ialah kehadiran sistem Honda Smart Key baharu, ditawarkan untuk ketiga-tiga varian demi kemudahan dan tahap keselamatan yang lebih terjamin.
Honda Winner X 2022 (untuk varian Sports Version dan Special Version sahaja) turut menawarkan dua ciri baharu yang tiada pada model Honda RS-X, iaitu port pengecas USB untuk kemudahan mengecas gajet dan telefon bimbit, dan rantai jenis O-ring (seal chain) yang lebih berdaya tahan, lebih lancar dan menjimatkan masa penyelenggaraan.
Di bahagian brek, cakera depan dan belakang dengan ABS single-channel, kekal sama seperti mana yang dimiliki oleh Honda RS-X (varian Sports Version dan Special Version sahaja). Beralih ke bahagian paip ekzos, ianya kini tampil dengan gaya rekaan baharu yang lebih sporty, termasuk muncung paipnya yang kini telah direndahkan sudutnya.
Honda Winner X 2022 dipercayai masih menggunakan casis sama seperti casis Honda RS-X. Ini bermakna pada bila-bila masa sahaja, Honda RS-X boleh dijelmakan sebagai model Honda Winner X 2022 tanpa sebarang masalah. Setakat ini, belum ada informasi bilakah Honda RS-X akan menerima versi facelift terbaharu seperti di pasaran Vietnam.
Galeri : Honda Winner X 2022 (Sports Version)
Galeri : Honda Winner X 2022 (Special Version)
Galeri : Honda Winner X 2022 (Standard Version)