Benelli TRK 502 X 2020 terima kemaskini warna baharu, harga asas RM 34,488.00

Untuk pasaran Malaysia, Benelli TRK 502 X 2020 kini didatangkan dalam tiga pilihan warna baharu yang lebih menarik dan segar iaitu Merah, Biru dan warna Kuning yang kelihatan sangat menyerlah. Harga yang ditawarkan untuk model kembara itu adalah sebanyak RM 34,488.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Berdasarkan maklumat terdahulu, Benelli TRK 502 X versi 2020 terbaharu ini hadir dengan rekaan jalur grafik baharu, penggunaan material plastik dengan tekstur baharu, dan diikuti oleh switchgear yang kini dengan ciri backlit, cermin pandang belakang rekaan baharu bersama-sama logo TRK, serta genggaman tangan juga adalah baharu.

Bar hendal yang dibentuk semula kini mempunyai ciri boleh laras bagi membolehkan pemilik mendapatkan posisi tunggangan yang terbaik, begitu juga dengan tuil klac yang juga kini boleh dilaraskan. Selain itu rak belakang baharu diperbuat daripada material aloi aluminium yang mempamerkan rekaan terkini yang lebih menarik dan ergonomik.

Tempat duduk juga disempurnakan melalui gaya rekaan baharu, kini lebih selesa dan luas, seterusnya menawarkan keselesaan maksimum kepada penunggang dan juga pembonceng. Kemaskini semula kemasan akhir juga melebihi standard kualiti terkini. Untuk perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan apinya mempunyai kapasiti 20 liter.

Direka untuk memudahkan pengendalian di jalanan off-road, talaan suspensi TRK 502 X 2020 melibatkan fork depan upside-down dengan diameter 50 mm dan travel 140 mm, sementara di bahagian belakangnya ialah suspensi monoshock tengah (adjustable hydraulic rebound and compression damping and spring preload) dengan travel 62 mm.

Benelli TRK 502 X 2020 juga mempunyai sistem ekzos yang bergaya pada posisi yang lebih tinggi berbanding versi TRK 502, yang mana ianya berguna untuk menangani permukaan jalan yang paling sukar dan tidak sekata tanpa sebarang halangan. Bagi melindungi enjin, pelindung atau penutup enjinnya didatangkan sebagai ciri standard.

Sistem brek Benelli TRK 502 X 2020 menawarkan prestasi yang seimbang, gandingan di antara cakera berkembar 320 mm (2-piston floating callipers) dan cakera tunggal 260 mm. Roda depan dan belakang dalam siri 110/80-R19 dan 150/70-R17 pula menjamin tahap keselamatan yang lebih baik walaupun dalam situasi yang paling mencabar.

Benelli TRK 502 X 2020 dilengkapi enjin bersesaran 500cc (2-Cylinder In-line, 4 Stroke, DOHC, 8 Valves, Liquid Cooled) dengan kuasa maksimum 47.6hp (35kW) @ 8,500rpm dan tork maksimum 46Nm @ 6,000rpm. Enjin berprestasi itu dipadankan kotak gear enam kelajuan. Seterusnya berat kering jentera kembara itu berada di tahap 210 kg.