Harley-Davidson Sportster S 2021 kini di pasaran Malaysia, harga asas RM 92,900.00

Menurut maklumat terkini daripada rakan media, Harley-Davidson Sportster S 2021 yang sebelum ini membuat kemunculan global pertama pada bulan Julai yang lepas, kini rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Harga jualan yang ditetapkan untuk model tersebut adalah sebanyak RM 92,900.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Harley-Davidson Sportster S dikuasakan enjin Revolution Max 1250 yang bersesaran 1,252cc (chain-driven, DOHC, hydraulic self-adjusting lifters, intake & exhaust VVT, four valves per cylinder), dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Enjin itu sebelum ini diperkenalkan melalui model Harley-Davidson Pan America 1250 2021.

Jumlah kuasa dan tork yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai paras maksimum 121hp @ 7,500rpm dan 127Nm @ 9,500rpm. Sporster S seterusnya dilengkapi sistem ekzos berkembar (2-into-1-into-2) yang berada pada kedudukan yang tinggi, manakala tangki bahan apinya menawarkan kapasiti maksimum 3.1 gelen atau sekitar 11.8 liter.

Menjadikan penampilannya lebih sporty ialah penggunaan tayar dengan saiz lebar, iaitu berukuran 160/70-R17 di bahagian depan dan 180/70-R16 di bahagian belakang. Tinggi tempat duduknya berada pada paras 753 mm, sementara berat keseluruhan Sportster S yang juga tampil begitu gagah ini mencapai angka 228 kg (weight in running order).

Sportster S kini dilengkapi casis yang lebih moden, di mana bahagian enjin bergabung dengan casis, seterusnya mengetepikan casis tradisional. Ianya memberikan kelebihan apabila berjaya mengurangkan berat motosikal dengan ketara, menawarkan casis yang lebih kukuh, dan menyumbang kepada tahap pengendalian motosikal yang lebih tepat.

Beralih ke bahagian sistem suspensi premium di depan dan belakang, ianya merupakan unit boleh laras sepenuhnya daripada Showa. Sistem brek pula daripada Brembo, iaitu cakera tunggal 320 mm dengan kaliper empat piston dan radial monoblock di bahagian depan, diikuti cakera tunggal 260 mm dengan kaliper dua piston di bahagian belakang.

Sportster S seterusnya dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih, antaranya ialah empat mod tunggangan iaitu Sport, Road, Rain dan mod custom, dan koleksi teknologi yang diberikan nama Cornering Rider Safety Enhancements by Harley-Davidson, yang mana ianya turut merangkumi Cornering Enhanced Antilock Braking System (C-ABS).

Skrin instrumen digital 4.0 inci TFT menawarkan pelbagai pelbagai maklumat penting, pada masa yang sama boleh dihubungkan melalui sambungan Bluetooth dengan fungsi telefon, muzik dan juga navigasi. Akhir sekali, Sportster S turut dilengkapi sistem lampu LED, port pengecas jenis USB-C, cruise control dan sistem keselamatan yang canggih.