Yamaha MT-10 2022 tampil dengan reka bentuk minimalis terbaharu dan enjin bertaraf Euro 5 yang lebih berkuasa

Yamaha Motor Europe dengan rasminya memperkenalkan jentera hyper naked Yamaha MT-10 2022 serba baharu, yang kini tampil dengan reka bentuk dan gaya luaran minimalis terbaharu, di samping enjin crossplane CP4 bersesaran 998cc yang kini lebih berkuasa dan patuh piawaian Euro 5. Model berkenaan turut menerima pelbagai naik taraf terkini.

Untuk pasaran Eropah, Yamaha MT-10 2022 serba baharu didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Cyan Storm, Icon Blue dan Tech Black. Setakat ini harga jualan untuk model naked itu masih belum diumumkan, namun menurut Yamaha Motor Europe, penghantaran pertamanya kepada pelanggan akan bermula dalam bulan Februari 2022.

Yamaha MT-10 2022 masih mengekalkan enjin terdahulu yang dibawakan daripada model Yamaha MT-10 2021. Namun dengan pelbagai naik taraf yang ekstensif, hamburan kuasa maksimumnya kini mencapai 165.9PS @ 11.500rpm dengan tork maksimum 112.0Nm @ 9,000rpm. Enjin bertaraf Euro 5 itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan.

Naik taraf terbaharu yang lain termasuklah penggunaan sistem intake serba baharu yang direka semula bagi menghasilkan bunyi unik yang lebih garang, sistem ekzos titanium terbaharu yang turut menghasilkan keluaran bunyi lebih padu, peningkatan ciri ergonomik tunggangan, dan sistem brek kini telah dilengkapi ‘Brembo radial brake master cylinder’.

Antara ciri utama baharu yang melengkapi Yamaha MT-10 2022 ini ialah Yamaha Variable Speed Limiter (YVSL), yang membolehkan had kelajuan maksimumnya ditetapkan untuk memenuhi pelbagai situasi tunggangan. Quick Shift System (QSS) pula kini telah tersedia sebagai kelengkapan standard, yang mana sebelum ini ianya merupakan pilihan ekstra.

Yamaha MT-10 2022 turut dilengkapi sistem pendikit baharu Accelerator Position Sensor Grip (APSG) ride by wire yang beroperasi dengan Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T). Respon pendikit itu boleh ditala menggunakan suis PWR (Power delivery mode) dari empat tahap, bermula dari tahap agresif, pertengahan dan pada tahap yang paling lembut.

Model naked itu seterusnya dilengkapi unit IMU 6-axis (Inertial Measurement Unit) baharu yang kini telah berevolusi menjadi lebih kecil dan lebih ringan, di samping teknologi Lean sensitive Traction Control System, Slide Control system (SCS), Lift control system (LIF), Engine Brake Management (EBM), Brake Control (BC) dan Yamaha Ride Control (YRC).

Yamaha MT-10 2022 dibangunkan di atas kerangka Deltabox aluminium yang kukuh dan ringan, dibawakan secara terus daripada YZF-R1. Bersama-sama lengan ayun aluminium dan jarak roda kompak 1,405 mm, casis Deltabox itu memberikan kawalan pengendalian yang stabil, ringan dan lincah, dalam pelbagai jenis tahap kelajuan sewaktu tunggangan.

Beralih ke bahagian sistem suspensinya yang canggih, Yamaha MT-10 2022 dilengkapi fork depan upside-down 43 mm KYB dengan travel 120 mm, yang bergandingan dengan suspensi belakang KYB berprestasi tinggi. Kedua-dua sistem suspensi di bahagian depan dan belakang itu boleh dilaraskan sepenuhnya untuk penyesuaian tunggangan dan beban.

Yamaha MT-10 2022 dibekalkan rim roda aluminium lima bilah, dengan balutan sepasang tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22 berprestasi tinggi dalam siri 120/70-17 (depan) dan 190/55-17 (belakang). Ketinggian tempat duduknya berada pada paras 835 mm, berat keseluruhan 212 kg (wet weight), dan kapasiti maksimum tangki bahan api ialah 17 liter.

Yamaha MT-10 2022 kini dilengkapi panel instrumen TFT 4.2 inci baharu yang dibawakan daripada model YZF-R1, dengan paparan yang lebih jelas dan terang. Sistem lampu LED melengkapi bahagian depan dan belakang, termasuklah lampu utama ‘compact new twin-eye mono-focus LED’ yang menjadikan penampilan terkininya kekal agresif dan dominan.

Untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) selaku pengedar rasmi motosikal Yamaha di pasaran tempatan, sehingga kini masih belum menawarkan model Yamaha MT-10. Mungkin dengan kemunculan Yamaha MT-10 2022 serba baharu dengan pelbagai naik taraf terkini ini, akhirnya ianya akan dilancarkan juga secara rasmi.