Suzuki V-Strom 1050XT 2021 kini di pasaran Malaysia, harga asas RM 81,900.00

Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. pada tarikh 26hb. Oktober 2021 baru-baru ini secara rasminya melancarkan dua buah model terbaharu iaitu Suzuki Hayabusa 2021 dan Suzuki V-Strom 1050XT 2021. Bagi model V-Strom 1050XT, ianya tampil dalam dua pilihan warna menarik Pearl Brilliant White / Glass Blaze Orange dan Metallic Oort Grey / Glass Sparkle Black. Model kembara itu seterusnya boleh dimiliki dengan harga asas sebanyak RM 81,900.00.

Suzuki V-Strom 1050XT 2021 hadir dengan gaya rekaan yang diinspirasikan daripada dua model legenda iaitu model perlumbaan DR-Z dan model pengeluaran DR Big. Di bahagian enjin, ianya dilengkapi sistem penjana kuasa bersesaran 1,037cc, yang menghamburkan kuasa maksimum 79.0kW @ 8,500rpm (107.4PS) dan tork puncak 100Nm @ 6,000rpm. Enjin berprestasi itu dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dan assist & slipper clutch.

Untuk aktiviti pengembaraan jarak jauh tanpa perlu berhenti dengan kerap untuk mengisi petrol, V-Strom 1050XT mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 20 liter. Untuk kemudahan, model tersebut turut dilengkapi panel meter digital yang memaparkan pelbagai maklumat penting, sistem lampu LED yang terang, skrin penghadang angin yang boleh dilaraskan, dan sistem suspensi boleh laras untuk tunggangan yang lebih selesa.

Untuk tahap keselamatan tertinggi, Suzuki V-Strom 1050XT dilengkapi brek cakera depan berkembar 310 mm, dengan gandingan brek cakera belakang tunggal. Model berkenaan turut mempunyai rangkaian sistem elektronik canggih iaitu Suzuki Intelligent Ride System (SIRS), yang mana ianya turut merangkumi Motion Track Brake System, Hill Hold Control System, Slope Dependent Control System, Load Dependent Control System, Cruise Control System, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dan juga Traction Control System.

Sistem berkenaan dikuasakan oleh pendikit ride-by-wire baharu dengan tiga pilihan mod enjin dan unit sensor IMU (6 direction 3 axis) yang menyediakan penunggang dengan ciri kawalan pintar yang mudah dan selesa. Untuk pasaran Malaysia, jentera kembara Suzuki V-Strom 1050XT 2021 yang direka menggunakan konsep ‘The Master of Adventure’ turut disediakan dengan pelbagai kelengkapan dan pilihan aksesori asli yang serba lengkap.