Gambar di atas sekadar hiasan
Berita dunia motosikal yang paling menarik pada minggu lepas sudah pastinya mengenai pelancaran model terbaharu Honda RS-X 2021. Namun begitu pada bulan Disember 2021 akan datang, mungkin terdapat satu lagi berita yang sangat mengujakan, iaitu pelancaran model terbaharu Honda Winner X 2022 dengan naik taraf terkini di pasaran Vietnam.
Menurut laman blog Iwanbanaran.com yang telah menerima informasi terkini dari negara Vietnam, Honda Winner X 2022 yang bakal dilancarkan itu dikatakan akan tampil dengan gaya rekaan terbaharu yang lebih kompak, lebih ramping dan juga lebih agresif. Model itu juga dikatakan akan dibekalkan sistem Assist & Slipper Clutch, sistem kunci Smart Key, panel meter dengan ciri iluminasi baharu, dan naik taraf rantai yang tampil lebih senyap.
Di bahagian enjin bagaimanapun belum ada maklumat sahih sama ada ianya akan kekal dengan enjin 150cc, atau akan menerima enjin baharu bersesaran 160cc yang tentunya lebih berkuasa. Juga tidak dapat dipastikan sama ada ianya akan kekal dengan kerangka (casis) lama, atau akan dibangunkan dengan kerangka versi serba baharu sepenuhnya.
Khabar angin dan spekulasi mengenai pelancaran generasi baharu Honda Winner X 2022 untuk pasaran Vietnam ini telah lama bertiup kencang, termasuk jangkaan bahawa ianya akan dilengkapi enjin dalam sesaran yang lebih besar demi memberikan saingan kembali terhadap model Yamaha Exciter 155 VVA 2021 yang begitu popular di pasaran Vietnam.
Tambah sumber informasi dari Vietnam itu lagi, Honda Winner X 2022 generasi terbaharu bakal dilancarkan secara rasmi pada tarikh 15hb. Disember 2022. Sama ada maklumat ini benar atau pun tidak, tidak perlulah kita mempercayainya seratus-peratus. Namun Arena Motosikal akan terus memantau perkembangan model berkenaan, dan akan terus melaporkan berita terkini mengenai pelancarannya jika ianya menjadi kenyataan nanti.
Buat masa ini, kita saksikan dahulu gambar-gambar menarik jentera moped ‘Honda RS-X Malaysia Naked Style ft. Redbull Edition’ daripada Speedway Motorsport Centre / SPD RACING, seperti mana yang dipaparkan di dalam galeri di bawah. Model ini sebenarnya mungkin berasal daripada model Honda RS150R, yang telah diubahsuai secara ekstensif.