Suzuki Hayabusa 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas sebanyak RM 111,200.00

Suzuki Malaysia kini semakin rancak memperkenalkan model-model motosikal terbaharu untuk pasaran tempatan. Pada tarikh 26hb. Oktober 2021 yang lepas, syarikat berkenaan secara rasmi melancarkan model Suzuki Hayabusa 2021 terbaharu, dengan harga jualan asas sebanyak RM 111,200.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Hayabusa 2021 hadir dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Glass Sparkle Black / Candy Burnt Gold, Pearl Brilliant White / Metallic Matte Stellar Blue dan Metallic Matt Sword Silver / Candy Daring Red. Penampilan model tersebut pula telah dikemaskini semula dan ianya kini tampil lebih tajam, lebih sporty dan lebih segar.

Menurut Suzuki, jentera legenda Hayabusa generasi ketiga serba baharu ini hadir dengan lebih 550 komponen baharu. Walaupun masih mengekalkan casis sedia ada, ianya telah disemak semula bersama-sama subframe baharu, sistem brek baharu dan juga talaan sistem suspensi baharu. Di bahagian enjin, ianya kekal bersesaran 1,340cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC) dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan.

Hamburan kuasa maksimumnya kini mencapai angka 190PS @ 9,700rpm, dengan tork maksimum 150Nm @ 7,000rpm. Walaupun masih mengekalkan enjin terdahulu, enjin itu telah mengalami rekaan semula sepenuhnya dengan pelbagai komponen baharu, yang bukan sahaja meningkatkan prestasinya, malah kini mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Suzuki Hayabusa 2021 yang serba canggih ini turut dilengkapi versi terbaharu Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) dan teknologi six axis Inertial Measurement Unit (IMU), yang mengawal pelbagai rangkaian elektronik termasuklah ‘cornering ABS’, ‘traction control’, ‘cruise control’, ‘launch control’, ‘bi-directional quickshifter’, ‘engine brake control’, ‘three power modes’, dan ‘plus three preset rider modes and three user defined modes’.

Selanjutnya, ianya juga dibekalkan sistem pendikit elektronik canggih ‘ride-by-wire’ yang beroperasi dengan pelbagai sistem kawalan elektronik yang lain, panel instrumen dengan paparan digital TFT di tengahnya, sistem lampu LED pada bahagian depan dan belakang rekaan baharu, dan sistem brek cakera depan 320 mm dengan kaliper Brembo stylema.

Spesifikasi lain termasuklah sistem suspensi KYB dengan ciri boleh laras sepenuhnya, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 20 liter, tempat duduk dengan ketinggian 800 mm, tayar depan dalam ukuran 120/70ZR17M/C (58W) dan tayar belakang dalam ukuran 190/50ZR17M/C (73W), dan berat jentera bertaraf legenda itu ialah 264 kg (kerb mass).