Pasaran Thailand pada hari ini secara rasminya telah menerima ketibaan model terbaharu Yamaha YZF-R7 2022. Model tersebut sebelum ini telah diperkenalkan di pasaran Eropah dan USA pada bulan Mei yang lalu, dalam dua pilihan warna Icon Blue dan Yamaha Black. Untuk pasaran USA, harga jualannya ialah sebanyak $8,999, bersamaan RM 37,647.32.
Untuk pasaran Thailand pula, Yamaha YZF-R7 2022 telah ditetapkan harganya sebanyak THB 339,000, iaitu bersamaan hanya RM 41,983.62 mengikut kadar semasa. Harga yang ditawarkan itu boleh dikatakan berpatutan. Apabila dilancarkan di pasaran Malaysia nanti, harganya dijangka akan turut berada di bawah RM 45k, sama seperti di pasaran Thailand.
Kita imbas kembali spesifikasi teknikalnya. Yamaha YZF-R7 dikuasakan enjin CP2 yang bersesaran 689cc (2-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, DOHC), dengan padanan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Enjin itu menawarkan kuasa maksimum mencecah 73.4PS @ 8,750rpm, dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm.
Dari segi gaya dan reka bentuk, Yamaha YZF-R7 2022 ternyata tampil sporty dan agresif, sama seperti model-model lain dalam keluarga Yamaha R-Series. Wajah depannya hadir dengan lampu utama LED tunggal, yang diapit oleh dua lampu posisi LED di bahagian kiri dan kanan. Kesemua sistem lampu pada model tersebut merupakan LED sepenuhnya.
Ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah Quick Shift System (ciri pilihan untuk model di pasaran Eropah), casis yang ringan yang menyumbang kepada berat hanya 188 kg, fork depan jenis upside-down 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya, serta suspensi belakang tunggal dengan ciri preload dan rebound yang mudah dilaraskan dengan pantas.
Sebagai sebuah model sport yang berkuasa, Yamaha YZF-R7 turut tampil dengan posisi tempat duduk bagaikan sebuah model supersport sejati, di samping memiliki kelengkapan seperti handlebar jenis clip-on dan rekaan tempat duduk belakangnya yang optimum dan aerodinamik. Tempat duduk solo turut ditawarkan melalui pilihan aksesori asli Yamaha.
Sistem brek yang mantap amat diperlukan. Oleh itu Yamaha YZF-R7 didatangkan sistem brek dengan ABS dua saluran. Di bahagian roda depan, model tersebut dilengkapi kaliper brek empat piston radial-mount, lengkap dengan radial master cylinder daripada Brembo. Sistem brek cakera tunggal di bahagian belakang pula hadir dengan diameter 245 mm.
Yamaha YZF-R7 seterusnya dilengkapi tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17, yang kemudiannya membalut sepasang rim aloi yang ringan (lightweight 10-spoke cast alloy wheels). Tempat duduknya mempunyai ketinggian 835 mm, jarak kelegaan bumi 135 mm, dan kapasiti tangki bahan api maksimum 13 liter.
Beralih ke bahagian kokpitnya yang kompak, ianya menawarkan panel instrumen dengan rekaan baharu sepenuhnya, dengan paparan skrin LED yang cukup terang, jelas dan juga lengkap dengan pelbagai informasi yang diperlukan oleh penunggang. Antaranya penunjuk aras gear, lampu penunjuk penukaran gear (shift light) dan juga penunjuk sistem QSS.