Yamaha 125Z berharga RM 90,000.00 untuk pemberani kental

Menurut laporan daripada akhbar Kosmo kelmarin, sebuah model Yamaha 125Z keluaran 1998 – 1999 ingin dijual pada harga yang cukup luar biasa iaitu sebanyak RM 90,000.00. Harga jualan yang ditetapkan itu telah menyebabkan motosikal berkenaan menjadi tular di dalam laman sosial sejak semalam, dan menerima pelbagai reaksi daripada pembaca.

Ramai netizen yang mengatakan harga jualan sebanyak RM 90,000.00 itu sememangnya tidak masuk akal. Antara sebab kenapa Yamaha 125Z versi pertama itu ditawarkan pada harga yang tinggi ialah kerana model tersebut dikatakan telah disalin tukar barangan baru daripada stok lama kepada stok baru (NOS) hampir keseluruhan bahagian komponennya.

Berikut ialah petikan daripada akhbar Kosmo :

Namun harga yang ditawarkan bagi model pertama ini menjadi pendebatan hangat di media sosial sejak semalam dan rata-rata orang ramai tidak bersetuju dengan harga yang ditawarkan itu.

“Betul model ini dah tiada dalam pasaran, tapi harga yang diberi cukup tinggi. Walaupun barangan dia ori, tapi tak perlu la ‘offer’ sampai harga macam ni,” jelas Ketaro Racing.

“Baik beli kereta aku rasa, kalau dah nak pakai sangat motor ini banyak lagi yang murah, jangan jadi hamba kepada motor sangat la,” jelas Issey Kave.

“Biarlah dia nak jual mahal, orang yang tahu saja yang faham kenapa model ini mahal. Kalau tak mampu diam sudah la. Nak bising buat apa,” kata Saifullah90. 

Yamaha 125Z dan Yamaha 125ZR merupakan model motosikal dua lejang yang telah pun dihentikan pengeluarannya di pasaran Malaysia sejak tahun 2018 yang lalu. Sehingga kini model tersebut masih lagi menjadi buruan oleh ramai pencinta dan pemberani kental yang sanggup memilikinya, walaupun harga yang diletakkan berada pada paras terlalu tinggi.

Apa pula pendapat anda? Adakah anda sanggup memiliki sebuah model Yamaha 125Z versi terpakai yang telah dinaik taraf semula dengan pelbagai komponen NOS, sehingga ianya tampil bagaikan sebuah model baharu? Setakat ini tidak pasti sama ada motosikal Yamaha 125Z yang berharga RM 90,000.00 ini telah pun berjaya dijual atau pun tidak.

Sumber : Kosmo