Honda CB1100 EX Final Edition dan CB1100 RS Final Edition 2021 diperkenalkan sebagai model terakhir di pasaran Jepun

Honda CB1100 kini sudah pun sampai ke versi yang terakhir di pasaran domestik Jepun, melalui pelancaran dua model Honda CB1100 EX Final Edition 2021 dan Honda CB1100 RS Final Edition 2021. Bagi model EX, ianya akan berada di pasaran Jepun mulai tarikh 25 November 2021, manakala model RS akan tiba lebih awal iaitu pada 28 Oktober 2021.

Menurut Honda, dengan pengenalan kedua-dua model berkenaan, siri CB1100 di pasaran Jepun kini secara rasminya telah ditamatkan. Honda CB1100 EX Final Edition ditawarkan dalam dua pilihan warna Candy Chromosphere Red dan Darkness Black Metallic, diikuti dua pilihan warna Matte Jeans Blue Metallic dan Magna Red untuk versi RS Final Edition.

Kedua-duanya kini tampil eksklusif dengan pelekat istimewa “Final Edition” di atas tangki bahan api. Untuk pasaran domestik Jepun, jumlah keseluruhan versi Final Edition yang akan dikeluarkan adalah sebanyak 1,600 unit sahaja. Untuk model EX, harga jualannya ialah 1,362,900 Yen (RM 50,301.97) dan 1,403,600 Yen (RM 51,804.13) untuk model RS.

Honda CB1100 EX Final Edition 2021 dan Honda CB1100 RS Final Edition 2021, kedua-duanya dikuasakan enjin bersesaran 1,140cc (Air-cooled 4-stroke DOHC 4-valve in-line 4-cylinder) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Jumlah keluaran kuasa maksimum daripada enjin itu ialah 90PS @ 7,500rpm, dengan tork maksimum 91Nm @ 5,500rpm.