Selepas tujuh bulan dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia, model moped popular Yamaha Y16ZR 2021 kini telah menerima versi istimewa pertamanya. Model tersebut kini tampil dalam versi Doxou, dan ianya merupakan model yang ketiga selepas dua model Doxou sebelumnya iaitu Yamaha NVX Doxou 2019 dan Yamaha Y15ZR Doxou 2019.
Yamaha Y16ZR Doxou 2021 hanya ditawarkan dalam edisi terhad 5,000 unit sahaja, pada harga jualan RM 11,688.00. Harga tersebut cuma meningkat sebanyak RM 800.00 sahaja berbanding harga model standard yang ditawarkan sebanyak RM 10,888.00. Menariknya ialah Yamaha Y16ZR Doxou 2021 ini dikatakan eksklusif hanya untuk pasaran Malaysia.
Dengan setiap pembeliannya, para pelanggan akan menerima set hadiah eksklusif Doxou yang mengandungi Sijil Pemilikan, Visor Sporty Y16ZR dan Lambang Edisi Terhad. Selain itu tidak dilupakan ialah percuma kunci cakera Yamaha yang bernilai RM 100.00. Tempoh jaminan untuk motosikal moped berkenaan ialah 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan.
Selain daripada skim warna yang menyerlah dan tersendiri, termasuk padanan dua skim warna berlainan pada rim roda, spesifikasi teknikal pada Yamaha Y16ZR Doxou 2021 ini kekal tidak berubah. Model tersebut dilengkapi enjin 155cc dengan teknologi VVA, dengan keluaran kuasa maksimum 17.7hp @ 9,500rpm dan tork puncak 14.4Nm @ 8,000rpm.
Enjin tersebut digandingkan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Spesifikasi menarik lain yang melengkapinya termasuklah tangki bahan api 5.4 liter, sistem kunci pintar, panel meter digital LCD, lampu depan dan belakang LED, soket pengecas 12V DC, suis pemati enjin, dan juga suis ‘passing light’.
Di bahagian suspensi, ianya dilengkapi fork depan jenis teleskopik, bergandingan dengan suspensi belakang monoshock dengan ciri ‘preload-adjustable’. Ukuran tayar depan dan belakangnya pula ialah 90/80-R17 dan 120/70-R17. Untuk memiliki model istimewa edisi terhad Yamaha Y16ZR Doxou 2021 ini, anda perlu membuat tempahan dengan segera.