Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) hari ini memperkenalkan Modenas Pulsar NS200 ABS edisi 2021, yang kini telah menerima skim warna baharu Burnt Red, Plasma Blue dan Pewter Grey. Harga jualan asas untuk model naked berkenaan masih kekal sama seperti model edisi tahun 2020, iaitu sebanyak RM 9,655.00 sahaja.
Modenas Pulsar NS200 ABS 2021 dilengkapi enjin berkapasiti 199.5cc (silinder tunggal, 4 lejang, SOHC, 4 injap, sejukan cecair, suntikan bahan api), dengan padanan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 24.5PS @ 9,750rpm, manakala jumlah tork maksimumnya ialah 18.6Nm @ 8,000rpm.
Model naked yang tampil sporty itu seterusnya dilengkapi tangki bahan api 12 liter, fork depan teleskopik dengan sesendal anti geseran, suspensi belakang monoshock nitrox dengan kanister, brek cakera depan 300 mm dengan ABS saluran tunggal, brek cakera belakang 230 mm, dan roda depan dan belakang dalam siri 100/80-17 dan 130/70-17.
Modenas Pulsar NS200 ABS 2021 turut dilengkapi panel meter digital dan analog, dan berat keseluruhan motosikal tersebut ialah 158 kg (berat isi). Untuk ketenangan fikiran pemiliknya, model tersebut didatangkan dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km, dan akan berada di semua bilik pameran Modenas mulai Oktober 2021.