Salah sebuah model moped yang dinanti-nantikan pelancarannya di pasaran China dan juga kemungkinan akan dilancarkan di pasaran Malaysia ialah Rato SVR180. Sebelum ini model berkenaan dikatakan hadir dengan kuasa maksimum 15.6PS dan tork setinggi 12.8Nm, namun kini prestasinya itu dikatakan berada pada tahap yang lebih tinggi.
Menurut pengeluarnya, Rato SVR180 yang dikuasakan enjin 149.2cc dengan teknologi EFI dan sistem sejukan cecair, dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan itu kini menawarkan kuasa maksimum 17.0hp (maximum horsepower) dengan keluaran tork maksimum 13.8Nm. Maklumat menarik itu baru saja didedahkan baru-baru ini.
Jika benar, prestasi yang dihamburkan itu tidak jauh berbeza dengan prestasi beberapa model moped popular lain seperti Yamaha Y16ZR dan Honda Winner X. Untuk Yamaha Y16ZR, kuasa maksimum yang dikeluarkannya mencapai 17.7hp dengan tork 14.4Nm, manakala Honda Winner X pula memiliki kuasa maksimum 15.42hp dan tork 13.5Nm.
Sebagai sebuah model moped keluaran China, jumlah kuasa maksimum dan tork yang tinggi pastinya sangat dialu-alukan oleh para peminat motosikal tempatan, selain faktor rekaannya yang sporty dan cantik. Bagaimanapun untuk maklumat yang lebih tepat, kita semua perlu menunggu sehingga ianya dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia.