Honda SH350i 2021 dilancarkan di pasaran Vietnam, harga bermula dari RM 26,548.64

Model skuter terbaharu Honda SH350i 2021 sebelum ini diperkenalkan untuk pasaran Eropah dalam bulan November tahun lepas, bagi menggantikan model terdahulu Honda SH300i. Kini model tersebut telah pun dilancarkan untuk pasaran Vietnam pada tarikh 25hb. Ogos 2021 baru-baru ini, dalam dua pilihan varian iaitu High Class dan Sport.

Untuk pasaran Vietnam, Honda SH350i varian High Class yang mempunyai dua pilihan warna Red dan White dijual dengan harga sebanyak VND 145,990,000 (RM 26,548.64), sementara varian Sport yang mempunyai pilihan warna tunggal Dark Gray boleh dimiliki dengan harga jualan sebanyak VND 147,490,000, iaitu bersamaan RM 26,821.42

Honda SH350i dilengkapi enjin 330cc (liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, single, four-valve) yang patuh piawaian emisi Euro 5. Enjin eSP+ yang canggih itu seterusnya dipadankan transmisi automatik dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC), dan menjana kuasa maksimum 29.23PS @ 7,500rpm dengan tork maksimum 32Nm @ 5,250rpm.

Tangki bahan api Honda SH350i mempunyai kapasiti maksimum 9.3 liter, dan dikatakan mampu mencapai jarak perjalanan sejauh 270 km+. Ciri-ciri menarik pada model skuter itu antaranya termasuklah panel instrumen digital pelbagai info, sistem lampu LED, brek cakera dengan ABS dua saluran, sistem sambungan Bluetooth dan juga Smart Key.

Untuk kemudahan mengecas telefon bimbit, Honda SH350i didatangkan pengecas USB jenis Type C, manakala ruang di bawah tempat duduk mampu memuatkan topi keledar. Roda depan dan belakangnya hadir dalam saiz 110/70-R16 dan 130/70-R16, dan tinggi tempat duduk berada pada paras hanya 805 mm. Berat skuter tersebut ialah 172 kg.

Untuk pasaran Vietnam, Honda SH350i 2021 ini akan dihantar kepada pelanggan mulai tarikh 22hb. September 2021, dengan jaminan yang diberikan adalah selama tempoh 3 tahun atau 30,000 km jarak perbatuan. Untuk pasaran Malaysia pula, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada ianya akan turut dilancarkan pada masa akan datang.