Model naked sporty Yamaha MT-25 2020 buat pertama kalinya dilancarkan di pasaran Malaysia dalam bulan September 2020 yang lepas. Kini selepas setahun berlalu, model berkenaan tampil dalam versi 2021, dan didatangkan bersama-sama dua pilihan warna dan jalur grafik terbaharu yang lebih menyerlah iaitu Storm Fluo dan Yamaha Blue.
Untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-25 2021 boleh dimiliki dengan harga jualan asas sebanyak RM 21,500.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Tempoh jaminan yang ditawarkan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km perbatuan. Bagi setiap pembelian, pelanggan akan turut menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00.
Yamaha MT-25 2021 dilengkapi enjin berkapasiti 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve) dengan gandingan transmisi enam kelajuan, dan mampu menghasilkan kuasa maksimum 35.1PS @ 12,000rpm dengan tork maksimum 22.6Nm @ 10,000rpm. Model itu turut dilengkapi tangki bahan api 14 liter, dengan berat berada pada paras 169 kg.
Antara spesifikasi menarik yang melengkapi Yamaha MT-25 2021 di pasaran tempatan ini termasuklah panel instrumen digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, fork depan terbalik, suspensi belakang tunggal, sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, tayar depan dan belakang 110/70-R17 dan 140/70-R17, dan tinggi tempat duduk 780 mm.
Secara keseluruhannya, Yamaha MT-25 2021 kini tampil sebagai sebuah model naked yang cukup menarik dan sporty, dengan pilihan warna yang lebih segar. Model tersebut juga kelihatan begitu agresif dan seolah-olah sentiasa bersedia untuk beraksi sama ada di litar mahu pun di jalan raya. Adakah model ini bakal menjadi milik anda seterusnya?