Barisan model CFMOTO 700CL-X pada ketika ini ditawarkan dalam tiga varian menarik iaitu Heritage, Sport dan juga Adventure. Ketiga-tiga model berkenaan dilengkapi enjin bersesaran 693cc dengan transmisi enam kelajuan dan slipper clutch, dan menawarkan kuasa maksimum 73.7hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 68Nm @ 6,500rpm.
Reka bentuk CFMOTO 700CL-X sememangnya sangat menarik dan sporty, dan berita baiknya ialah model tersebut akan mempunyai versi dengan enjin 249cc bersama-sama reka bentuk yang hampir sama. Ketika ini kita sudah dapat melihat imej pertama model naked tersebut, terutama rekaan lampu depannya yang sama seperti model 700CL-X.
Di bahagian enjin, model yang dijangka akan dikenali dengan nama CFMOTO 250CL-X itu berkemungkinan besar akan dilengkapi enjin daripada model CFMOTO 250SR, dan jumlah kuasa maksimumnya dikatakan mencapai paras 27.5hp. Berat model berkenaan pula ialah 155 kg (curb weight), dengan kelajuan maksimumnya mencapai 128 km/j.
Spesifikasi lain yang akan melengkapi CFMOTO 250CL-X ini antaranya sudah tentulah sistem lampu LED, panel meter digital, sistem brek ABS, fork depan terbalik, dan tangki bahan api dengan kapasiti yang luas untuk perjalanan lebih jauh. Ketika ini belum pasti bilakah model ini akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran China dan juga global.
Sumber : Vanhoe Rage FB




