Web Analytics
Honda Forza 350 2021 dilancarkan di pasaran Eropah, enjin lebih berkuasa dengan penampilan premium baharu – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Honda Forza 350 2021 dilancarkan di pasaran Eropah, enjin lebih berkuasa dengan penampilan premium baharu

Pada pertengahan Oktober 2020 baru-baru ini, Honda Motor Europe secara rasminya telah melancarkan tiga model skuter Forza untuk pasaran Eropah. Ketiga-tiga model terbaharu untuk musim 2021 itu ialah Honda Forza 125, Honda Forza 350 dan Honda Forza 750. Bagi Forza 350, ianya dilancarkan buat pertama kali di pasaran Thailand.

Honda Forza 350 merupakan model naik taraf terbaharu bagi menggantikan model terdahulu Honda Forza 300. Ianya dikuasakan enjin baharu ‘enhanced Smart Power+’ (eSP+) bersesaran 330cc (4 stroke, 4 valve, liquid-cooled) dengan pematuhan piawaian emisi Euro 5. Enjin tersebut dilengkapi sistem PGM-FI dengan padanan transmisi automatik V-Matic dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Dengan penambahan kapasiti enjin daripada 279cc kepada 330cc, jumlah kuasa dan tork yang dihasilkan juga telah bertambah. Honda Forza 350 kini menawarkan kuasa maksimum 28.8hp (21.5kW) @ 7,500rpm dengan tork puncak 31.5Nm @ 5,250rpm. Kesannya kelajuan maksimum turut meningkat sebanyak 8 km/j kepada 137 km/j. Dengan tangki bahan api 11.5 liter, potensi perjalanannya dikatakan sejauh 340 km+.

Honda Forza 350 turut menerima kemaskini kosmetik dan aerodinamik baharu yang diterapkan pada sisi fairing depan, cermin pandang belakang, panel sisi belakang dan penutup enjin untuk penampilan keseluruhan yang lebih premium. Casis tidak berubah tetapi kini disambungkan kepada lengan ayun yang lebih ringan. Skrin eletrik pula kini menerima tambahan travel 40 mm untuk perlindungan angin yang lebih baik.

Antara kemudahan yang disediakan untuk Honda Forza 350 termasuklah sistem kunci pintar Smart Key, ruang di bawah tempat duduk yang luas yang boleh memuatkan dua buah topi keledar bersaiz penuh dan poket depan di dalam fairing sebelah kiri yang boleh dikunci. Ianya juga menempatkan soket pengecas USB yang kini menggantikan pengecas 12V ACC. Sistem lampu pada model skuter berkenaan semuanya LED.

Untuk lebih kemudahan, panel instrumen digital yang memaparkan pelbagai maklumat berguna kini boleh dilengkapi sistem Honda Smartphone Voice Control yang tersedia sebagai pilihan. Sistem baharu tersebut menghubungkan penunggang ke telefon pintar semasa dalam perjalanan. Ianya membolehkan pengurusan suara untuk panggilan telefon, emel, musik dan sistem navigasi melalui sambungan Bluetooth.

Honda Forza 350 dilengkapi fork depan teleskopik 33 mm yang tegar, bergandingan dengan penyerap hentak belakang berkembar dengan ciri boleh laras pra-beban tujuh tahap. Pengendalian yang terkawal dan keselesaan tunggangan turut disumbangkan oleh penggunaan tayar depan bersaiz 120/70R15 dan belakang bersaiz 140/70R14, di samping ketinggian tempat duduk 780 mm dan berat 184 kg (wet weight).

Aspek keselamatan disempurnakan oleh penggunaan sistem brek cakera depan berdiameter 256 mm dengan gandingan brek cakera belakang 240 mm, seterusnya mendapat manfaat daripada sistem ABS dua saluran. Honda Forza 350 2021 untuk pasaran Eropah boleh didapati dalam lima pilihan warna menarik seperti berikut :

  • Pearl Falcon Gray (New Colour)
  • Matt Pearl Pacific Blue (New Colour)
  • Matt Cynos Gray Metallic
  • Pearl Nightstar Black
  • Pearl Cool White

Pilihan aksesori asli Honda yang boleh didapati pula termasuklah ’45-litre Smart top box’, ‘Rear carrier rack (direct fitment)’, ‘Inner bags’, ‘Heated grips’ dan ‘Alarm’.

Artikel berkaitan :

 
Arena Motosikal © 2023