Yamaha YZF-R15M 2022 bakal dilancarkan di pasaran India

Ada berita menarik dari negara India, apabila India Yamaha Motor Pvt. Ltd. dikhabarkan bakal melancarkan model terbaharu Yamaha YZF-R15M 2022 tidak lama lagi. Setakat ini sekeping gambar sebenar model tersebut telah pun bocor di dalam internet, di mana ianya tampil menggunakan skim warna Monster Energy Yamaha MotoGP Edition.

Sebelum ini, beberapa keping imej spyshot model tersebut yang sedang ditunggang uji di India juga telah muncul di dalam internet. Namun ramai yang menjangkakan bahawa ianya merupakan model Yamaha YZF-R15 V4 2022 generasi terbaharu. Boleh jadi juga YZF-R15M ini akan menggantikan model Yamaha YZF-R15 V3 2021 di pasaran India.

Jika benar, beberapa pasaran lain yang menawarkan Yamaha YZF-R15 V3 pada ketika ini seperti pasaran ASEAN dan Australia, pastinya akan turut menerima ketibaan model Yamaha YZF-R15M yang sporty dan berprestasi ini. Mungkin juga ini jawapan Yamaha terhadap model Honda CBR150R 2021 serba baharu yang dilancarkan sebelum ini.

Melihat kepada imej Yamaha YZF-R15M 2022 yang bocor itu, reka bentuk hadapannya ternyata telah berubah sepenuhnya. Kini menggunakan lampu depan LED mono yang kelihatan begitu agresif, di samping dilengkapi fork depan terbalik berwarna keemasan. Untuk maklumat lengkap, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi YZF-R15M ini.

Sumber gambar : autox.comgaadiwaadi.com