Suzuki kembali ke pasaran Malaysia, perkenal 6 model baharu versi CBU dari Jepun, model 250cc ke bawah akan menyusul

Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. melalui surat bertarikh 01hb. Julai 2020 dan ditandatangani oleh Pengarah Urusan, Kunihiko Uetsuki, telah memaklumkan bahawa syarikat tersebut akan menutup semua operasi perniagaan mereka di Malaysia. Surat makluman itu kemudiannya diedarkan kepada semua pengedar sah Suzuki di Malaysia.

Di dalam surat berkenaan juga telah dimaklumkan bahawa semua urusan perniagaan Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. pada masa depan akan diuruskan oleh syarikat baharu iaitu Suzuki Malaysia Sdn. Bhd., yang kini beroperasi di alamat di No. 14, Jalan Jurunilai U1/20, Seksyen U1, HICOM Glenmarie Industrial Park, Shah Alam, Selangor.

Kemudiannya setelah menyepi dalam tempoh lebih setahun, Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. yang kini merupakan pengimport, pengedar dan pemasang tunggal sah bagi motosikal Suzuki, ATV, alat ganti dan juga aksesori, baru-baru ini secara rasminya mengumumkan pelancaran secara serentak enam model motosikal baharu untuk pasaran tempatan.

Menurut Suzuki Malaysia, kenam-enam model baharu itu merupakan produk CBU yang diimport sepenuhnya dari Jepun. Di bawah berikut ialah senarai model-model tersebut, termasuk senarai harga jualan asas yang ditawarkan. Kesemua model-model Suzuki di pasaran Malaysia didatangkan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 perbatuan.

  • Suzuki GSX-R1000 2021 : RM 99,289.00
  • Suzuki GSX-R1000R 2021 : RM 110,289.00
  • Suzuki Katana GSX-S1000S 2021 : RM 77,989.00
  • Suzuki GSX-S750 2021 : RM 40,989.00
  • Suzuki V-Strom 650XT 2021 : RM 37,989.00
  • Suzuki SV650 2021 : RM 37,289.00

Suzuki Malaysia ketika ini diterajui oleh Ahmad Faez Tan Sri Yahaya, sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan, sementara Datuk Jeffrey Lim merupakan Pengarah dan Pengurus Besar Suzuki Malaysia. Buat masa ini, tiga kategori pengedar telah diperkenalkan oleh Suzuki Malaysia iaitu Suzuki Big Bike World, Suzuki Station Plus dan Suzuki Station.

Bagi kategori Suzuki Big Bike World dan Suzuki Station Plus, kedua-duanya merupakan kumpulan pengedar motosikal berkuasa tinggi yang bertaraf elit dan pertengahan. Bagi kategori pengedar Suzuki Station pula, ianya merupakan kumpulan pengedar motosikal yang lebih meluas, dengan tumpuan jualannya kepada model-model di bawah 250cc.

Keseluruhannya, Suzuki Malaysia akan memiliki lebih 70 pengedar motosikal di seluruh negara. Namun ketika ini, hanya model-model bertaraf CBU sepenuhnya sahaja akan ditawarkan, sementara model-model menarik lain bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Paling penting, Suzuki Malaysia juga tidak melupakan perkhidmatan selepas jualan.

Terdapat dua kategori perkhidmatan selepas jualan yang kini diperkenalkan oleh Suzuki Malaysia iaitu Suzuki Exclusive Service Centre dan Suzuki Service Corner. Kedua-dua kategori perkhidmatan selepas jualan itu akan merangkumi kesemua model yang dijual oleh Suzuki Malaysia, bermakna tiada lagi masalah berkaitan jaminan dan alat ganti.

Akhirnya dengan pengumuman rasmi daripada Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. ini mengenai misi perniagaan mereka di pasaran tempatan, bermakna tidak lama lagi pasaran negara kita sekali lagi akan ditawarkan dengan pelbagai model-model menarik di bawah 250cc. Antara model yang dijangkakan itu ialah Suzuki Belang R150 FI dan Suzuki GSX-R150.

Sumber rujukan : nst.com.my