Yamaha Mio Gear 2021 dilancarkan di pasaran Filipina, harga bermula dari RM 6,389.80

Untuk pasaran Filipina, Yamaha kelmarin secara rasminya melancarkan model skuter terbaharu Yamaha Mio Gear 2021. Model tersebut didatangkan dalam dua varian iaitu Yamaha Mio Gear dan Yamaha Mio Gear S, dengan pilihan warna masing-masing iaitu Off White dan Matte Gray (Mio Gear) dan Matte Black dan Matte Blue (Mio S).

Antara ciri-ciri menarik yang diperkenalkan melalui model Yamaha Mio Gear ini adalah seperti beberapa bahagian luarannya yang lasak, tahan calar dan tanpa cat, agar ianya menjadi model serba boleh dalam jangka masa lama. Selain itu papan pemijaknya telah direka dengan ciri anti gelinciran untuk muatan barangan bersaiz besar dengan mudah.

Yamaha Mio Gear dikuasakan enjin Blue Core bersesaran 125cc (air-cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve) dengan SMG (Smart Motor Generator), teknologi yang membolehkan bunyi enjin menjadi lebih lancar apabila dihidupkan. Dipadankan transmisi automatik V-Belt, kuasa yang terhasil mencapai 9.5PS @ 8,000rpm dan tork 9.6Nm @ 5,500rpm.

Spesifikasi lain yang melengkapinya ialah tangki bahan api 4.2 liter, brek cakera depan, tayar depan dan belakang tanpa tiub bersaiz 80/80-14 dan 100/70-14, tinggi pelana 750 mm, jarak kelegaan bumi 135 mm, panel meter analog, soket elektrik 12V, lampu depan LED dengan ciri lampu kecemasan dan tongkat sisi yang dilengkapi suis keselamatan.

Bagi varian Yamaha Mio Gear S, ianya dilengkapi tiga ciri eksklusif berupa Stop & Start System, kunci dilengkapi Answer Back System dan Reflectorized Graphics yang terang dan jelas. Pelekat grafik di bahagian rim roda pula menjadi ciri standard. Sebagai model yang lincah, berat Yamaha Mio Gear ialah 95 kg dan 96 kg untuk varian S (wet weight).

Yamaha Mio Gear 2021 dijual di pasaran Filipina dengan harga P75,900.00, bersamaan RM 6,389.80 mengikut kadar semasa. Yamaha Mio Gear S 2021 pula dijual pada harga sebanyak P79,900.00, bersamaan RM 6,726.55. Dengan cirinya yang ranggi dan tahan lasak, Yamaha Mio Gear ini juga dirasakan sesuai jika ditawarkan di pasaran Malaysia.