Salah sebuah model motosikal terbaharu yang mempunyai ramai peminat di Malaysia pada ketika ini ialah Honda CBR150R 2021. Model tersebut buat pertama kalinya rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia, dan selepas itu masuk ke pasaran Filipina dan juga Bangladesh. Kini pada kelmarin, model tersebut dilancarkan pula di pasaran Kemboja.
Untuk pasaran Kemboja, Honda CBR150R 2021 tampil dalam tiga pilihan warna yang menarik dan sporty iaitu Racer Spirit Red, Powerful Black dan Speedy Grey. Berkenaan harga, tidak pula dipaparkan di dalam laman sesawang NCX Honda. Namun ianya pasti berpatutan dan tidak akan menjangkau harga RM 26k seperti di pasaran Bangladesh.
Aspek teknikal memperlihatkan Honda CBR150R 2021 ini dikuasakan enjin satu silinder berkapasiti 149.16cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, PGM-FI), dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum dan jumlah tork yang terhasil mencapai 17.1PS @ 9,000rpm dan 14.4Nm @ 7,000rpm.
Untuk prestasi tunggangan dan tahap keselamatan yang lebih baik, Honda CBR150R 2021 ini seterusnya dilengkapi fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, brek cakera dengan ABS, teknologi Emergency Stop Signal, tayar depan dan belakang bersaiz 100/80-17 dan 130/70-17, tinggi tempat duduk 788 mm dan berat 121 kg (curb).
Model berkenaan seterusnya dilengkapi tangki bahan api 12 liter, rekaan lampu depan LED serba baharu, panel meter digital LCD sepenuhnya, serta gaya rekaan ekzos yang sporty. Untuk peminat di Malaysia, khabar angin sebelum ini mengatakan bahawa ianya akan turut dibawa masuk oleh Boon Siew Honda, jadi sama-samalah kita nantikan.