Infinity 150 2021 jadi ganti model skuter Honda Vario 150

Di pasaran Peru, Amerika Selatan, model skuter Honda Vario 150 tidak ditawarkan oleh Honda Motos Peru. Bagaimanapun untuk para peminat model tersebut di sana, mereka tetap mempunyai pilihan yang tidak kurang menariknya, melalui pengenalan model klon Infinity 150 2021. Model skuter itu ditawarkan oleh syarikat tempatan JCH Motos.

Infinity 150 sememangnya mempunyai reka bentuk hampir sama dengan model Honda Vario 150 yang asli, malah ianya turut dilengkapi enjin bersesaran 150cc (air-cooled, 4-stroke, OHC). Dipadankan transmisi automatik, enjin itu menawarkan kuasa maksimum 9.3hp. Tangki bahan api yang melengkapinya mempunyai kapasiti penuh 6.0 liter.

Ciri-ciri menarik yang melengkapi model skuter Infinity 150 termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital, brek cakera di bahagian roda depan, ukuran roda depan dan belakang masing-masing 80/90-14 dan 90/90-14, rekaan rim aloi sporty, dan dua pilihan warna menarik merah dan biru. Harganya ialah USD 1,150 (RM 4,873.70).