Dalam pertengahan bulan Februari 2021 yang lepas, Kawasaki Motor Indonesia (KMI) telah melancarkan model sportbike Kawasaki Ninja 250 2021, dalam dua pilihan warna baharu Passion Red dan Metallic Carbon Gray. Dan kini pada kelmarin pula, KMI telah memperkenalkan dua pilihan warna terbaharu yang lebih menarik untuk model tersebut.
Kedua-dua pilihan warna terbaharu itu ialah Lime Green / Ebony / Pearl Blizzard White (KRT Edition) untuk model Kawasaki Ninja 250 ABS SE 2022, dan diikuti pilihan warna istimewa Metallic Matte Graphene Steel / Metallic Matte Graphite Gray untuk Kawasaki Ninja 250 ABS SE MDP 2022 (MDP di sini merujuk kepada Magnetic Design Paint).
Kedua-dua model tersebut masih kekal dengan spesifikasi terdahulu, seperti dilengkapi enjin 249cc (water-cooled, 4-stroke, parallel 2-cylinder, DOHC 4-valve) dengan padanan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Keluaran kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 39PS @ 12,500rpm, dengan tork puncak 23.5Nm @ 10,000rpm.
Bagaimanapun berbanding versi standard atau asas, Kawasaki Ninja 250 ABS SE 2022 dan Kawasaki Ninja 250 ABS SE MDP 2022 dilengkapi penutup tempat duduk belakang dan teknologi kunci pintar iaitu KIPASS (Kawasaki’s Intelligent Proximity Activation Start System), dan turut dilengkapi sistem brek ABS untuk ciri keselamatan yang lebih baik.
Untuk pasaran Indonesia, Kawasaki Ninja 250 ABS SE 2022 didatangkan dengan tanda harga Rp 76,900,000, bersamaan RM 22,600.52. Bagi model Kawasaki Ninja 250 ABS SE MDP 2022 pula, harganya ialah Rp 77,300,000, bersamaan RM 22,718.08. Pasaran Jepun juga baru-baru ini telah menerima model Kawasaki Ninja 250 2022 terbaharu.