Kawasaki Motor Indonesia hari ini dengan rasminya melancarkan model Kawasaki Ninja 250 2021, yang kini menerima kemaskini dua warna baharu Passion Red dan Metallic Carbon Gray. Harga jualan yang ditawarkan untuk pasaran Indonesia adalah sebanyak Rp. 64,200,000, bersamaan nilai RM 18,611.26 mengikut kadar tukaran semasa.
Kawasaki Ninja 250 2021 masih lagi mengekalkan spesifikasi yang sama seperti model tahun sebelumnya, antaranya dilengkapi enjin 249cc (water-cooled, 4-stroke, parallel 2-cylinder, DOHC 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah keluaran kuasa maksimumnya ialah 39PS @ 12,500rpm dengan tork puncak 23.5Nm @ 10,000rpm.
Spesifikasi lain termasuklah sistem Assist & Slipper Clutch, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 14 liter, sistem brek cakera depan 310 mm dengan gandingan brek cakera belakang 220 mm, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock boleh laras prabeban, dan berat keseluruhan yang berada pada paras 163 kg (curb weight).
Berdasarkan paparan maklumat di dalam laman sesawang Kawasaki Motor Indonesia, model Kawasaki Ninja 250 2021 ini merupakan model asas yang tidak dilengkapi sistem brek ABS. Varian lain yang dilengkapi dengan sistem ABS yang masih ditawarkan untuk pasaran Indonesia adalah seperti berikut, dengan harga jualan yang lebih tinggi :
- 2020 Kawasaki Ninja 250 KRT Edition : Rp. 65,400,000
- 2020 Kawasaki Ninja 250 ABS SE Smart Key : Rp 76,900,000
- 2020 Kawasaki Ninja 250 ABS SE MDP Smart Key : Rp. 77,300,000