Dalam bulan Julai 2021 yang lalu, Aprilia buat pertama kalinya telah memperkenalkan jentera kembara terbaharu Aprilia Tuareg 660 2022. Setakat ini tarikh sebenar model itu akan dilancarkan secara rasmi masih belum diumumkan, namun spesifikasi dan ciri-ciri menarik model adventure lasak itu sedikit sebanyak telah pun didedahkan oleh Aprilia.
Di bahagian enjin, Aprilia Tuareg 660 akan dikuasakan enjin paralled-twin 660cc dengan kuasa maksimum 80hp dan tork puncak 70Nm. Berat kering model tersebut pula hanya 187 kg, bermakna lebih ringan lebih menyeronokkan. Casis yang kukuh dengan agihan berat yang sepadan, jarak roda sekitar 1,500 mm, juga antara ciri-ciri pada Tuareg 660.
Untuk aktiviti penjelajahan tanpa kompromi, fork depan 43 mm digandingkan bersama-sama sistem suspensi “progressive linkage monoshock” pada bahagian belakang, yang mana kedua-duanya hadir dengan travel 240 mm dan boleh dilaraskan. Kapasiti tangki bahan api maksimum 18 liter memastikan jentera itu melakukan perjalanan lebih jauh.
Teknologi canggih yang melengkapi Tuareg 660 adalah seperti empat mod tunggangan (dua daripadanya boleh disesuaikan, dan satu dikhususkan untuk tunggangan off-road), ABS yang boleh dinyahaktifkan di kedua-dua roda atau di belakang sahaja, dan sistem APRC lengkap dengan Traction Control, Cruise Control, Engine Map dan Engine Brake.
Menurut Aprilia, semua itu boleh diakses melalui skrin TFT 5″ dengan tahap pandangan yang jelas. Akhir sekali, tinggi pelana dikatakan kurang daripada 860 mm, dengan jarak kelegaan bumi akan melangkaui 240 mm. Apabila dilancarkan nanti, Aprilia Tuareg 660 2022 ini mungkin menjadi pencabar kepada Yamaha Ténéré 700 dan KTM 890 Duke.













