Honda Winner X Rothmans Edition oleh Speedway Motorsports Centre

Honda Winner X merupakan salah sebuah model moped yang sangat dinanti-nantikan pelancarannya di pasaran Malaysia. Namun begitu pelancaran model tersebut ketika ini masih belum berlangsung, antaranya mungkin disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 di kebanyakan negeri.

Namun begitu untuk peminat tegar yang mahu memiliki sebuah model Honda Winner X dalam kadar segera, terdapat banyak bengkel tempatan yang menawarkan kepakaran mengubahsuai model Honda RS150R kepada model Honda Winner X. Antaranya ialah Speedway Motorsports Centre yang beroperasi di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Antara projek terbaharu oleh Speedway Motorsports Centre yang telah disiapkan baru-baru ini ialah Honda Winner X Rothmans Edition, yang tampil begitu sporty dalam livery Rothmans, sekaligus mengimbau kembali jentera perlumbaan Honda yang sebelum ini pernah berkolaborasi dengan jenama tersebut. Antaranya ialah model Honda NSR500.

Sudah tentulah Honda Winner X Rothmans Edition ini bukanlah model pengubahsuaian versi standard, sebaliknya dilengkapi dengan pelbagai komponen premium, mewah dan serba lengkap. Kos keseluruhannya belum diketahui, mungkin akan didedahkan melalui video model tersebut tidak lama lagi, melalui channel YouTube rasmi SPD Racing.