Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 kini di pasaran Filipina, pilihan warna tunggal KRT Edition, harga RM 34,457.28

Selepas pasaran Indonesia, Thailand dan juga Jepun, Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 kini rasmi diperkenalkan di pasaran Filipina, pada penghujung bulan Julai yang lepas. Berbanding model tahun 2021, pasaran negara kepulauan itu kini hanya menerima satu pilihan warna tunggal sahaja iaitu dalam versi KRT Edition (Lime Green / Ebony).

Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 di pasaran Filipina kekal dikuasakan enjin 249.8cc (liquid-cooled, 4-stroke in-line four, DOHC, 16 valves), yang menjana kuasa maksimum 43.5hp @ 15,500rpm dengan tork maksimum 21.2Nm @ 13,000rpm. Enjin berprestasi tinggi itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan yang lancar.

Spesifikasi lain adalah sama seperti mana model di pasaran Indonesia, Thailand dan Jepun, antaranya dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch, Kawasaki Quick Shifter, sistem brek ABS, KTRC (Kawasaki Traction Control), dan fork depan jenis upside-down 37 mm yang menggunakan teknologi SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston).

Untuk pasaran Filipina, harga yang ditawarkan untuk Kawasaki Ninja ZX-25R 2022 ini adalah sebanyak Php. 410,000, bersamaan nilai RM 34,457.28. Harga tersebut hampir sama dengan harga yang ditawarkan di pasaran Indonesia, Thailand dan Jepun, namun masih belum dapat menandingi harga di pasaran Hong Kong yang mencecah RM 41k.