Pasaran motosikal di negara Filipina ternyata agak berbeza jika dibandingkan dengan pasaran motosikal di negara kita. Mungkin kerana faktor geografi dan permukaan alam, begitu juga dengan keperluan sesebuah model motosikal untuk kegunaan harian. Oleh itu tidak hairanlah jika motosikal kapcai scrambler antara model yang popular di sana.
Salah sebuah model motosikal kapcai scrambler yang bercirikan off-road atau trail yang ditawarkan di pasaran Filipina sejak beberapa tahun yang lalu ialah Keeway RCX 125. Model itu dikuasakan enjin bersesaran 124.8cc (1-cylinder, 4-stroke, 2-valve, air-cooled) dengan sistem bahan api jenis karburetor, dan dipadankan kotak gear empat kelajuan.
Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 8.7hp @ 7,000rpm, dengan tork maksimum 9.5Nm @ 5,500rpm. Sistem penghidup enjinnya ialah jenis tendang dan elektrik, manakala tangki bahan api hadir dengan kapasiti maksimum 3.9 liter. Suspensi depannya merupakan jenis teleskopik, dan dibelakangnya ialah suspensi berkembar.
Untuk ciri keselamatan yang lebih baik, Keeway RCX 125 dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan, dengan gandingan brek jenis dram di bahagian roda belakang. Penggunaan tayar depan dan belakang jenis off-road yang berbunga tebal dan bersaiz 17 inci menyerlahkan lagi ciri-cirinya sebagai sebuah model motosikal tahan lasak.
Lebih menarik lagi, Keeway RCX 125 mempunyai jarak kelegaan bumi pada paras 142 mm, yang pastinya bersesuaian untuk meredah setiap permukaan jalan yang sukar dan mencabar, terutamanya di kawasan luar bandar dan di kawasan ladang. Untuk pasaran Malaysia, tidak pasti jika model kapcai scrambler seperti ini akan turut ditawarkan.